Najib, isteri dan anak perempuan fail notis usul untuk periksa barang sita.
Mantan Perdana Menteri malaysia, Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor, serta anak perempuan mereka, Nooryana, memfailkan notis usul bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mantan Perdana Menteri Najib Razak bersama isterinya Rosmah Mansor. (Gambar: Reuters)
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri malaysia, Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor, serta anak perempuan mereka, Nooryana, memfailkan notis usul bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing.
Perkara itu dimaklumkan peguam Syahirah Hanapiah, yang mewakili Najib dan peguam Azrul Zulkifli Stork bertindak bagi pihak Rosmah dan anaknya, Nooryana Najwa Mohd Najib kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.
Encik Najib memfailkan notis usul itu pada Khamis minggu lalu (18 Jul) manakala isteri dan anaknya mengemukakan notis usul sehari selapas itu (19 Jul), dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Dalam notis usul itu, Encik Najib, 66 tahun, memohon supaya responden membekalkan atau menzahirkan gambar berwarna berserta keterangan lengkap seperti label, lambang, kad hadiah, bungkusan dan kotak yang dijumpai dan harta alih yang disita oleh SPRM pada 17 Mei tahun lepas.
Encik Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak-kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas sudahpun dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.
Cik Rosmah, 68 tahun, dan Nooryana, 31 tahun, pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta-harta alih yang disita dan berada dalam jagaan SPRM.
Menurut kedua-dua notis usul itu, antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya membabitkan wang tunai RM537,000 (S$178.000), Rupee Sri Lanka 2,870,000 (S$22, 243), wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 (S$62, 271) dan Pound Sterling £320,500 (S$545, 958).
Sementara itu, dalam prosiding hari ini (25 Jul), mahkamah menetapkan tarikh 14 Okt untuk mendengar permohonan Najib, Rosmah dan Nooryana.
Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.