Najib harus mohon maaf atas kesilapannya, tegas Guan Eng
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak harus meminta maaf atas kesilapan beliau, terutamanya menyusuli perkembangan terbaru skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri Kewangan negara itu Lim Guan Eng.
Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng semasa satu sidang media. (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)
PUTRAJAYA: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak harus meminta maaf atas kesilapan beliau, terutamanya menyusuli perkembangan terbaru skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri Kewangan negara itu Lim Guan Eng.
Encik Lim dalam kenyataan hari ini (19 Jan) berkata dalam perkembangan terkini, Goldman Sachs sudah memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan menyatakan Goldman Sachs juga ditipu oleh pemimpin tertinggi kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Sungguhpun Goldman Sachs telah minta maaf, Datuk Seri Najib masih berdegil dan berkeras yang beliau tidak bersalah dan enggan memohon maaf. Sebaliknya beliau menyalahkan sistem sungguhpun beliau mewakili sistem semasa menjadi Perdana Menteri pada masa itu," katanya.
Pada Rabu (17 Jan), Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Group Inc David Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas peranan bekas pegawai bank di firma itu dalam skandal 1MDB.
Goldman membantu menguruskan bon AS$6.5 bilion (S$8.8 bilion) bagi 1MDB dan Malaysia sudah menfailkan pertuduhan jenayah terhadap bank tersebut serta dua bekas kakitangannya atas tuduhan mencuri.
Encik Lim menambah bahawa satu lagi kesilapan Encik Najib adalah beliau menganggap bahawa Universiti Islam Malaysia (UIM), sebuah kolej swasta bukan untuk keuntungan yang berteraskan wakaf, sebagai institusi yang sama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), iaitu sebuah institusi pengajian tinggi awam.
Encik Lim menjelaskan UIM ditubuhkan di Cyberjaya pada 2012 apabila Kolej Islam Malaya, iaitu sebuah institusi pengajian Islam dengan sejarah panjang melahirkan ramai tokoh di Malaysia, dinaik taraf dengan perkenan Majlis Raja-Raja.
"Mustahil seorang bekas Perdana Menteri tidak tahu tentang kewujudan institusi yang begitu bersejarah, atau pura-pura tidak tahu semata-mata untuk berpolitik?," katanya lagi.
"Seharusnya, Najib patut memohon maaf atas kesilapannya tetapi saya yakin Najib tidak akan berbuat demikian kerana beliau rasa 'tidak boleh buat salah'," tambahnya.
Encik Lim mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas hantaran Encik Najib menerusi laman Facebooknya, yang mempertikaikan Menteri Kewangan yang membuat perbandingan antara pemberian RM15 juta (S$5 juta) kepada UIM dengan pemberian sebanyak RM6 juta (S$2 juta) kepada tiga universiti iaitu Kolej Universiti New Era di Selangor, Kolej Universiti Selatan di Johor dan Kolej Universiti Han Chiang di Pulau Pinang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.