Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib gugurkan saman terhadap kerajaan M'sia berhubung dakwaan salah guna kuasa

Najib Razak hari ini (9 Sep) menarik balik saman terhadap Kerajaan Malaysia berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam beberapa kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anggaran Waktu Membaca:
Najib gugurkan saman terhadap kerajaan M'sia berhubung dakwaan salah guna kuasa

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Najib Razak hari ini (9 Sep) menarik balik saman terhadap Kerajaan Malaysia berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam beberapa kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun bekas perdana menteri Malaysia itu, sebagai plaintif, meneruskan saman terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas selaku defendan pertama.

Sebelum ini, peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Encik Najib, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya memutuskan untuk memberhentikan kes saman terhadap kerajaan selaku defendan kedua.

“Saman terhadap kerajaan dihentikan,” kata Encik Firoz Hussein semasa prosiding di hadapan Hakim Ahmad Bache.

Peguam Alan Adrian Gomez mewakili Encik Thomas.

Encik Najib, 69 tahun, hadir di mahkamah memakai sut kelabu dan duduk di galeri awam dengan dikawal beberapa pegawai dari Penjara Kajang. Turut kelihatan ialah isterinya, Rosmah Mansor.

Berdasarkan notis pemberhentian saman yang difailkan Tetuan Raj, Ong & Yudistra semalam (8 Sep), Encik Najib memberhentikan sepenuhnya tindakan terhadap Kerajaan Malaysia dengan tiada perintah mengenai kos.

Pada 22 Oktober 2021, Encik Najib menfailkan saman itu atas dakwaan pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang sudahpun dirancang lebih awal oleh Encik Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Menurut Encik Najib, beliau didakwa di mahkamah dalam kes salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 membabitkan 1MDB serta International Petroleum Investment Company.

Encik Najib menuntut secara bersama serta berasingan daripada Encik Thomas dan kerajaan satu pengisytiharan bahawa Encik Thomas telahpun melakukan misfeasans dalam jawatan awam. Beliau juga menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta (S$594,000) termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan