Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib gesa Ketua Hakim Negara tarik diri; berpegang kepada piawai Majlis Peguam

Anggaran Waktu Membaca:
Najib gesa Ketua Hakim Negara tarik diri; berpegang kepada piawai Majlis Peguam

Ketua Hakim Negara. Gambar: Agensi Berita

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes membabitkan Najib Razak pada Selasa (23 Ogos) bermula dengan peguam bela bekas perdana menteri itu memberitahu, mereka sudah mengemukakan permohonan agar Tengku Maimun Tengku Mat menarik diri daripada prosiding berkenaan.

Peguam Encik Najib, Encik Hisyam Teh Poh Teik, berkata permohonan tersebut dikemukakan kepada mahkamah pada Isnin (22 Ogos).

Kata Encik Hisyam Teh, permohonan terhadap ketua hakim negara itu difailkan berdasarkan maklumat yang diperolehi beberapa hari lalu.

Ketika ini Tengku Maimun mempengerusikan panel lima hakim untuk mendengar kes Encik Najib berkait dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Empat hakim lain yang bersidang bersama Tengku Maimun adalah Abang Iskandar Abang Hashim, P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Menurut salinan afidavit yang digunakan untuk menyokong permohonan tersebut, Encik Najib berkata pada 17 Ogos lalu beliau mendapat tahu mengenai hantaran didakwa dibuat suami Tengku Maimun, Encik Zamani Ibrahim.

Kata Encik Najib, hantaran bertarikh 11 Mei 2018 itu antara lain didakwa melahirkan rasa gembira Encik Zamani apabila dia ‘digulingkan’ dalam PRU ke-14, lapor Malaysiakini.

“Saya benar-benar percaya bahawa perkembangan ini amat membimbangkan memandangkan Encik Zamani jelas mempunyai sentimen negatif terhadap kepimpinan saya di negara ini semasa saya menjadi perdana menteri dan membuat kesimpulan saya menyedut dana kerajaan ke akaun peribadi saya.

“Sebagai suami kepada pengerusi yang mengadili rayuan saya, berkemungkinan beliau (Encik Zamani) akan mempengaruhi pemikiran pengerusi mengenai dakwaan saya bersalah," katanya.

Encik Najib juga berhujah, berdasarkan hubungan suami isteri tersebut, ada kemungkinan Tengku Maimun dipengaruhi secara tidak sedar oleh sentimen Encik Zamani.

Berdasarkan keadaan itu, tambah Encik Najib, sebarang dapatan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan ke atasnya akan tertakluk kepada keraguan dan keputusan dibuat secara berat sebelah, lapor Malaysiakini.

Ia juga, dakwa Encik Najib, akan menimbulkan keraguan orang awam terhadap kebebasan badan kehakiman negara.

Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu juga menegaskan, sebelum Encik Mohd Nazlan Mohd Ghazali menghakimi perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hakim terdahulu - Encik Sofian Razak - menarik diri kerana dikatakan ada saudara lelakinya menjadi ahli UMNO dan exco Pahang.

Encik Najib berkata ketika itu beberapa pihak termasuk Majlis Peguam mengeluarkan kenyataan menggesa Encik Sofian menarik diri atas alasan ia mungkin dilihat gagal memberikan keadilan kepada tertuduh.

Justeru, kata Encik Najib, dengan keadaan yang sama Tengku Maimun wajar berpegang kepada piawaian yang sama seperti disarankan Majlis Peguam.

Selain itu, tambah Encik Najib, hakim asal yang mendengar permohonannya untuk mendapatkan khidmat peguam diraja United Kingdom, Wan Ahmad Farid, juga menarik diri kerana abangnya seorang ahli UMNO yang aktif, seperti dinukil daripada Malaysiakini.

Penarikan diri itu, katanya, dibuat walaupun tidak mendapat bantahan daripada mana-mana pihak.

Oleh itu, katanya, Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi negara wajar mencontohi piawaian tersebut.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan