Skip to main content

Dunia

Najib gagal rayuan gugurkan 2 peguam Tommy Thomas

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Najib Razak gagal dalam rayuannya pada Jumaat (11 Ogos) untuk menggugurkan dua peguam Tetuan Tommy Thomas daripada mewakili bekas Peguam Negara Tommy Thomas dalam kes saman RM1.9 juta (S$556,000) yang dikemukakan oleh mantan perdana menteri Malaysia itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hanipah Farikullah, Azimah Omar dan Azhahari Kamal Ramli sebulat suara menolak rayuan Encik Najib untuk menggugurkan Alan Adrian Gomez dan Mervyn Lai Wei Shiung daripada mewakili  Thomas.

Hakim Hanipah berkata tiada kaitan antara kedua-dua peguam cara itu dan punca tindakan Encik Najib dalam saman tersebut.

“Kedua-dua peguam cara itu akan dapat mengekalkan kebebasan profesional mereka dan bertindak demi kepentingan terbaik pentadbiran keadilan,” katanya.

Hakim Hanipah berkata mahkamah mendapati tiada kesilapan yang membolehkan rayuan berhubung keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Encik Najib pada 19 Ogos tahun lepas untuk melucutkan kelayakan peguam itu, yang merupakan rakan kongsi dalam Tetuan Tommy Thomas, daripada mewakili Thomas dalam saman Encik Najib.

Encik Najib, 70, menyaman Thomas, memohon pengisytiharan bahawa Thomas melakukan misfeasans dalam jawatan awam berhubung tuduhan jenayah yang dikenakan terhadapnya.

Beliau juga menuntut RM1.9 juta (S$556,000) sebagai ganti rugi, termasuk yuran perundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menghadapi dakwaan terhadapnya. 

Encik Najib menyaman Thomas dengan mendakwa dituduh di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Mantan Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang dirancang lebih awal oleh Thomas.

Pada 25 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan terhadapnya (Thomas). Rayuan Encik Najib untuk mengembalikan semula saman akan didengar pada 4 Oktober ini.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Encik Najib manakala Gomez dan Lai bertindak bagi pihak Thomas.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita