Najib gagal ketepikan tujuh pertuduhan SRC
Mahkamah Tinggi hari ini (29 Apr) menolak permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk mengetepikan tujuh pertuduhan terhadapnya berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$14 juta).
Encik Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini (29 Apr) menolak permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk mengetepikan tujuh pertuduhan terhadapnya berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$14 juta).
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata pertuduhan terhadap Encik Najib tidak bersifat pendakwaan dua kali (double jeopardy) memandangkan setiap pertuduhan adalah berbeza dan sabitan hanya berlaku jika pihak pendakwaan membuktikan setiap pertuduhan.
“Pihak pendakwaan sudah menyerahkan kesemua dokumen kepada pembelaan. Setakat ini, perbicaraan sudah berlangsung selama sembilan hari dan 21 saksi telah memberi keterangan dengan pemeriksaan balas yang ekstensif bersama-sama dokumen daripada saksi yang dibenarkan oleh mahkamah ini.
“Sukar untuk menerima tertuduh telah dikelirukan,” kata hakim.
Beliau juga berkata pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa adalah kesalahan-kesalahan yang berbeza dan tiada kependuaan.
“Sehubungan itu, permohonan ini ditolak,” katanya.
Pada 3 April, Encik Najib memfailkan notis usul memohon mengetepikan tujuh pertuduhan terhadapnya atas alasan pertuduhan terbabit menyalahgunakan proses mahkamah serta defektif dari segi bentuk dan bahan.
Encik Mohd Nazlan pada hari sama menolak permohonan Encik Najib agar notis usulnya didengar dahulu sebelum perbicaraan berlangsung.
Jumaat lepas, hakim menetapkan hari ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan itu selepas mendengar hujah peguam-peguam Encik Najib - Encik Mohd Yusof Zainal Abiden dan Encik Kamarul Hisham Kamaruddin - serta pendakwa raya ad hoc Encik V. Sithambaram.
Encik Najib, 66 tahun, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta (S$14 juta).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.