Skip to main content

Dunia

Najib fail prosiding hina mahkamah terhadap mantan Peguam Negara

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap mantan peguam negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib fail prosiding hina mahkamah terhadap mantan Peguam Negara

Gambar komposit bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (kiri) dan bekas Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh. (Gambar: AP/Vincent Thian; Portal Rasmi Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia)

Diterbitkan : 23 May 2025 04:21PM
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap mantan peguam negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Ia berikutan kegagalan Terrirudin pada 2024 mendedahkan kewujudan titah adendum agar Najib menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan rumah.

Dalam satu kenyataan, pada Jumaat (23 Mei), peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata, mereka memfailkan permohonan terhadap Encik Terrirudin, yang kini hakim di Mahkamah Persekutan pada Rabu lalu selepas menerima arahan daripada bekas perdana menteri itu.

Peguam yang mewakili Najib mendakwa berdasarkan salinan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 dan surat rasmi dari Pejabat Sultan Pahang pada bulan yang sama, Encik Terrirudin ketika itu mempunyai pengetahuan secara langsung mengenai titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Katanya, dokumen-dokumen tersebut bukan sahaja mengesahkan kewujudan titah adendum dan perintah tahanan di rumah, malah menunjukkan bahawa titah itu ditujukan secara langsung kepada Encik Terrirudin, dalam kapasitinya sebagai peguam negara, untuk melaksanakan titah tersebut.

Encik Terrirudin didakwa telah mengarahkan pegawai-pegawainya supaya mengelirukan Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan untuk memulakan semakan kehakiman dengan menyatakan bahawa dakwaan Najib mengenai kewujudan titah adendum itu hanyalah satu spekulasi, bersifat “fishing expedition” dan berasaskan keterangan dengar cakap.

"Anak guam kami berpendapat bahawa sebagai seorang penjawat awam, bekas Peguam Negara mempunyai kewajipan terus-terang (duty of candour) kepada Mahkamah," menurut kenyataan peguam Najib seperti dinukil Free Malaysia Today.

"Prinsip perundangan Malaysia dan antarabangsa, termasuk keputusan-keputusan terkini Mahkamah Persekutuan, jelas menyatakan bahawa Kerajaan wajib mengemukakan semua fakta (dan dokumen) yang relevan kepada Mahkamah dalam sebarang prosiding semakan kehakiman.

"Kegagalan sengaja untuk berbuat demikian akan menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan malah merupakan satu halangan terhadap keadilan itu sendiri," tambah kenyataan itu.
Titah adendum yang dikeluarkan pada 29 Januari tahun lepas membenarkan Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara, untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.

Encik Terrirudin adalah peguam negara ketika Lembaga Pengampunan bersidang, yang memberikan pengurangan hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadap Najib.

Beliau digantikan oleh Dusuki Mokhtar pada November tahun lepas sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Titah tambahan itu dilampirkan bersama titah diraja yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$64.46 juta) yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri itu kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta (S$15 juta).

Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, berkaitan salahguna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta (S$12.69 juta) dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib kini bergantung kepada kewujudan titah tambahan tersebut dalam usahanya di mahkamah sivil untuk memaksa Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara melaksanakan perintah tahanan rumah.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Januari mengakui bahawa peguam negara menerima surat berhubung titah tambahan diraja yang membolehkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, tambah beliau selepas surat itu diterima, Agong bertukar dan peguam negara menyerahkan surat itu kepada Istana Negara bagi membolehkan Agong yang baharu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, membuat keputusan.
Sumber : Agensi berita/SU/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita