Skip to main content

Dunia

Najib dilepas tanpa dibebaskan dari 3 tuduhan tambahan pengubahan wang haram

Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini (7 Feb) terhadap tiga tuduhan tambahan, dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta (S$15.6 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
Najib dilepas tanpa dibebaskan dari 3 tuduhan tambahan pengubahan wang haram

Gambar fail mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 07 Feb 2019 09:19PM Dikemas Kini : 07 Feb 2019 09:21PM

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini (7 Feb) terhadap tiga tuduhan tambahan, dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta (S$15.6 juta).

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara Tommy Thomas untuk melepas tanpa membebaskan Encik Najib.

"Pendakwa Raya mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan atau menolak untuk mendakwa pada mana-mana peringkat perbicaraan. Berdasarkan permohonan Pendakwa Raya, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan tambahan,” kata hakim.

Pada 28 Januari, Encik Najib, 66 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap tiga pertuduhan tambahan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta (S$15.6 juta), yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta (S$1.7 juta) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Encik Thomas memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan berhasrat untuk tidak meneruskan tiga pertuduhan itu terhadap Encik Najib di Mahkamah Tinggi dan memohon perintah dilepaskan tanpa dibebaskan.

"Saya akan mendakwa tertuduh dengan pertuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen nanti," katanya.
Kes pengubahan wang haram berkenaan pada asalnya kes di Mahkamah Sesyen dan pihak pendakwaan sepatutnya menyebut kes itu di Mahkamah Sesyen sebelum memindahkannya ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, pada 28 Januari, pihak pendakwaan mendakwa Encik Najib terus di Mahkamah Tinggi.

Encik Thomas juga memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan mahu menarik balik sijil memindahkan kes berkaitan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International yang dihadapi Encik Najib daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata ini kerana keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya (2017) dan M. Indira Gandhi (2018), terdapat keraguan berhubung kuasa oleh Pendakwa Raya untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

“Saya dengan ini menarik balik sijil yang saya dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang hujahan bahawa pemindahan itu adalah pembatalan.

“Ini akan menjimatkan masa. Saya mengambil langkah-langkah ini untuk mengelak sebarang cabaran yang boleh dibuat pada mana-mana peringkat yang terikat kepada menangguhkan dan membatalkan perbicaraan serta mengakibatkan perbelanjaan awam yang tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata hakim boleh menggunakan budi bicaranya (suo motu) mengikut Seksyen 417 Kanun Acara Jenayah (KAJ) untuk memindahkan kes di mahkamah ini.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Encik Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau terkejut apabila pendakwaan memaklumkan mahkamah yang mereka tidak mahu meneruskan tiga pertuduhan tambahan terhadap anak guamnya.

"Ini bukan 'kedai nasi kandar' di mana anda boleh menambah nasi. Perbicaraan akan bermula Selasa depan. Apa yang pendakwaan akan lakukan? Tiga kes baru ini tiada kaitan dengan kes lama (SRC International). Wang dan akaun bank berbeza," katanya.

Hakim Mohd Nazlan dalam keputusannya berkata mahkamah berpendapat bahawa Pendakwa Raya juga mempunyai kuasa untuk mempengaruhi penarikan balik sijil mengikut Seksyen 418A KAJ dengan mengambil kira bahawa tiada penentuan kehakiman yang seksyen ini tidak mengikut perlembagaan berlandaskan kes Semenyih Jaya dan Indira Ghandi.

“Saya dengan ini menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 417(2) KAJ untuk memerintahkan pemindahan tujuh pertuduhan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417(1)(e) KAJ,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi itu berkata tujuh pertuduhan berkenaan perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi kerana kes-kes berkenaan menarik minat ramai di dalam dan luar negara.

“Juga tiada prejudis terhadap tertuduh,” katanya.

Tujuh daripada pertuduhan berkenaan, kata Hakim Mohd Nazlan, didaftarkan pada 4 Julai tahun lepas dan pihak pendakwaan telah mengumpulkan semua dokumen dan tarikh perbicaraan bagi ketujuh-tujuh pertuduhan itu juga sudah ditetapkan hampir enam bulan lalu, bermula 12 Februari tahun ini.

Hakim turut menolak permohonan Encik Muhammad Shafee untuk penangguhan perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Februari atas alasan tiada asas khusus untuk menangguhkannya.

Encik Muhammad Shafee bagaimanapun berkata beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini dan mengatakan ia merupakan perkara yang serius yang perlu dibawa ke mahkamah tertinggi.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Encik Najib didakwa dengan tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna jawatan dan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$13.9 juta).

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita