Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib diberi cuti sakit 2 hari selepas masuk wad, perbicaraan kes 1MDB ditangguh

Anggaran Waktu Membaca:
Najib diberi cuti sakit 2 hari selepas masuk wad, perbicaraan kes 1MDB ditangguh

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Sep 2022 06:39PM Dikemas Kini : 14 Sep 2022 06:39PM

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguhkan pada Rabu (14 Sep) dan Khamis selepas beliau dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Selasa (13 Sep). 

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya menjalani beberapa ujian perubatan setiap hari di hospital disebabkan keadaan tekanan darahnya dan ulser di dalam perut.

“Saya akhirnya dapat berjumpa dengan anak guam saya itu selepas menanti selama hampir tiga jam hari ini, namun dia (Najib) sendiri tidak tahu berapa lama dia akan ditahan di wad hospital.

“Ada sijil sakit (MC) yang diberikan oleh Jabatan Penjara dan dihantar kepada Muhammad Farhan (seorang lagi peguam Najib) menerusi WhatsApp. Ia berdasarkan kepada pemeriksaan perubatan dan MC adalah bagi 14 dan 15 Sept, dan ia juga memaklumkan bahawa Najib kini berada di wad 21 hospital itu,” katanya.

Peguam itu berkata tekanan darah Najib semakin beransur turun selepas beliau mengambil ubat yang biasa diambilnya, walaupun ia tidak begitu memuaskan sebagaimana keadaan tekanan darah biasanya.

“Ujian dilakukan terhadap keadaan tekanan darahnya, dan perlu saya maklumkan kepada Yang Arif bahawa anak guam saya mempunyai sejarah ulser teruk dan dia tidak sedar yang tiga bulan lepas dia berada di peringkat kritikal.

“Baru-baru ini Yang Arif sendiri tahu dia pergi ke hospital kerana mengadu rasa tidak selesa dan mereka mendapati banyak ulser yang berdarah. Saya fikir atas sebab itu dia menjalani ujian untuk memastikan tekanan darah tiada kaitan dengan keadaan itu, sebaliknya mungkin kontingensi ubat semata-mata,” kata peguam itu.

Hakim Sequerah kemudiannya bertanya sekiranya bekas PM itu mungkin sembuh minggu depan, kerana perbicaraan 1MDB dijadualkan disambung semula pada 26 September, dan beliau melapangkan perbicaraan minggu ini kerana tidak mungkin perbicaraan dapat bersambung pada Khamis (15 Sep). 

Encik Muhammad Shafee berkata beliau berpendapat anak guamnya itu sepatutnya dalam keadaan lebih baik pada masa itu, tepat pada masa untuk tarikh perbicaraan yang dijadualkan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihaknya tidak mempunyai bantahan untuk perbicaraan minggu ini dikosongkan kerana MC itu datang daripada pegawai perubatan kerajaan.
 
Sementara itu ketika ditemui media selepas prosiding, Encik Muhammad Shafee berkata anak guamnya “tidak begitu ceria seperti biasa” dan masih mengalami keadaan tidak selesa disebabkan keadaan kesihatannya.

“Doktor telah kembali kepada ubat asal (yang biasa diambil Najib). Ubat sebelum ini dan jumlahnya diberikan mengikut sukatan yang betul, tetapi yang biasa dia gunakan adalah yang asli dan bukan dari jenama generik.

“Bertentangan dengan apa yang dikatakan dalam berita, generik (ubat) mungkin tidak berkesan seperti yang asal,” katanya sambil menambah bacaan tekanan darah Najib semasa di hospital adalah pada 124/84, berbanding bacaan biasa pada 110/80.

Ketika ditanya mengenai kemasukan Najib ke Institut Jantung Negara (IJN), Encik Muhammad Shafee berkata setakat ini tiada tanda-tanda mengenai perpindahannya (Najib) ke hospital pakar.

"Beliau tidak mempunyai masalah kesihatan yang berkaitan dengan jantungnya, tetapi kerana ia (ulser perut) menyebabkan pendarahan, ia benar-benar boleh menyebabkan masalah jantung yang boleh membawa kepada strok," katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa