Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib dapat persetujuan Kabinet sebelum luluskan surat bon AS$3.1 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa (30 Apr) diberitahu Najib Razak mendapatkan persetujuan sebulat suara daripada menteri-menteri Kabinet sebelum meluluskan surat sokongan berhubung penerbitan bon sebanyak AS$3 bilion (S$4.1 bilion) oleh anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), iaitu 1MDB Global Investment Berhad (1MDB GIL) pada 14 Mac 2013.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Ariffin, 37 tahun, bersetuju dengan cadangan peguam mewakili Encik Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, bahawa Encik Najib selaku Menteri Kewangan Malaysia ketika itu, mendapat persetujuan daripada menteri-menteri Kabinet.

Demikian selepas memorandum mengenai surat sokongan itu dibentangkan semasa Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 13 Mac 2013.

Saksi pendakwaan ke-49 itu turut bersetuju dengan cadangan Wan Azwan Aiman bahawa ketika membentangkan memo terbabit, Encik Najib hanya menjalankan tugasnya sebagai Menteri Kewangan dan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam penerbitan bon itu.

Sebelum ini, pada November 2021, mantan Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Ismee Ismail ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan sama, turut mengatakan kerajaan Malaysia mengambil maklum bahawa 1MDB GIL akan menerbitkan bon sebanyak US$3 bilion (S$4.1 bilion) yang akan dibayar sepenuhnya pada 2023.

Encik Ismee berkata surat sokongan itu menjelaskan sekiranya peminjam (1MDB GIL) tidak dapat membayar atau terdapat kekurangan dalam membayar hutang ini, 1MDB akan memberikan bantuan kewangan untuk memenuhi tanggungjawab membayar hutang itu.

"Selain itu, sekiranya 1MDB gagal untuk membayar hutang berkenaan, maka kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab itu untuk membiayai 1MDB membayar hutang ataupun secara langsung membayar hutang itu sehingga selesai," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-13.

Encik Najib, 70 tahun, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan sebanyak RM2.3 bilion (S$657 juta) dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 2 Mei ini.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan