Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib dapat penangguhan perbicaraan berhubung dakwaan SRC International

Perbicaraan mantan Perdana Menteri Najib Razak atas tujuh tuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd tidak akan bermula hari ini (12 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Najib dapat penangguhan perbicaraan berhubung dakwaan SRC International

Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Feb 2019 08:42AM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 08:44AM

PUTRAJAYA: Perbicaraan mantan Perdana Menteri Najib Razak atas tujuh tuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd tidak akan bermula hari ini (12 Feb).

Ini berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada Isnin (11 Feb) yang membenarkan permohonan Encik Najib untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuannya berhubung penarikan balik sijil pemindahan tujuh dakwaan oleh pendakwa raya.

Hakim Ahmadi Asnawi yang mempengerusikan panel berkata mahkamah mengambil perhatian hujah pendakwa raya bahawa tuduhan terhadap Encik Najib adalah serius dan dikatakan dilakukan oleh beliau dalam kapasitinya sebagai bekas Perdana Menteri Malaysia.

Beliau berkata mahkamah juga memperakui bahawa hujah pendakwa raya bahawa kes itu menarik minat antarabangsa dan awam. Maka itu permulaan perbicaraan haruslah mengikut jadual.

"Kami berpuas hati bahawa pemohon (Najib) membuktikan keadaan khusus untuk penangguhan diberikan,” kata beliau.

Hakim Ahmadi berkata jika perintah penangguhan tidak diberikan dan perbicaraan diteruskan, ini akan menyebabkan prosiding itu tidak sah yang akan menyebabkan pembaziran masa dan wang awam.

"Kami juga berpendapat, kami tidak menemui bukti taktik bertangguh sebagaimana didakwa oleh pendakwa raya,” kata beliau.

Dua hakim lagi ialah Encik Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Encik Yew Jen Kie.

Encik Najib memohon penangguhan perbicaraan berhubung tujuh tuduhan berkaitan dana berjumlah RM42 juta (S$14 juta) milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menarik balik sijil bagi pemindahan tujuh tuduhan berkait dengan SRC International yang dihadapi Encik Najib dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan perkara itu belum didengar oleh Mahkamah Rayuan.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan