Skip to main content

Dunia

Najib dan Rosmah akan fail permohonan batal saman Deepak

Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan isteri akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Pengarah syarikat Carpet Raya Sdn Bhd, J.R. Deepak Jaikishan, dalam tuntutan ganti rugi berjumlah RM676 juta (S$222 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
Najib dan Rosmah akan fail permohonan batal saman Deepak

Mantan Perdana Menteri Najib Razak bersama isterinya Rosmah Mansor. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 31 Dec 2018 03:26PM Dikemas Kini : 31 Dec 2018 03:30PM

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan isteri akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Pengarah syarikat Carpet Raya Sdn Bhd, J.R. Deepak Jaikishan, dalam tuntutan ganti rugi berjumlah RM676 juta (S$222 juta) berhubung dakwaan penipuan beberapa transaksi berpunca daripada konspirasi jual beli tanah.

Peguam David Mathews, yang mewakili bekas perdana menteri dan isterinya Rosmah Mansor, berkata permohonan untuk membatalkan saman itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi sebelum 7 Januari ini.

Encik Mathews berkata demikian kepada para wartawan selepas prosiding di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar.

Hari ini katanya, kedua-dua anak guamnya sudah memfailkan pernyataan pembelaan bagi saman tersebut dan hakim menetapkan 14 Januari untuk pengurusan lanjut kes berkenaan.

Sementara itu, peguam Irzan Iswat Mohd Nor yang bertindak bagi pihak Deepak memaklumkan bahawa dua lagi defendan yang dinamakan dalam saman berkenaan iaitu syarikat Boustead Holdings dan Bakti Wira Development juga sudah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.

Kedua-dua syarikat Boustead Holdings dan Bakti Wira Development diwakili peguam Kenny Chan.

Pada 12 Oktober lalu, Deepak, 46 tahun, selaku plaintif menamakan mantan perdana menteri dan isterinya sebagai defendan pertama dan kedua, manakala syarikat hartanah, Boustead Holdings Berhad sebagai defendan ketiga dan anak syarikatnya, Bakti Wira Development Sdn. Bhd., sebagai defendan keempat.

Encik Deepak mendakwa, beliau sebagai pengarah dan pemilik saham terbesar Astacanggih Sdn. Bhd. menandatangani satu perjanjian dengan pengarah dan pemilik saham terbesar syarikat Awan Megah (M) Sdn. Bhd. Raja Ropiaah Raja Abdullah berhubung tiga bidang tanah seluas 181.9 hektar di Mukim Kapar, Klang dan Mukim Bukit Raja di Jajahan Petaling.

Encik Deepak mendakwa pembayaran deposit RM13 juta (S$4.3 juta) sudah dibayar oleh Astacanggih kepada Awan Megah dan bon tanah daripada Kuwait Finance House (M) Berhad dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia berjumlah RM72.5 juta (S$23.9 juta) oleh syarikatnya itu. Namun, Awan Megah melalui Raja Ropiaah gagal dan enggan mengemukakan geran asal bagi tanah-tanah tersebut untuk didaftarkan pindah milik kepada Astacanggih.

Encik Deepak mendakwa, akibat penipuan dan pengaruh tidak wajar defendan pertama dan kedua, Astacanggih terpaksa akur menjual 80 peratus (16 juta unit saham yang sudah berbayar) daripada keseluruhan saham yang dimiliki olehnya dalam syarikat itu (Astacanggih) kepada Boustead Holdings melalui anak syarikatnya, defendan keempat.

Beliau berkata dari segi undang-undang, tanah-tanah tersebut merupakan milik ekuiti plaintif menerusi Astacanggih dan semasa pihak plaintif merupakan pengarah, pemegang saham majoriti syarikat itu menandatangani perjanjian perolehan di antara syarikat plaintif dengan Awan Megah melalui Raja Ropiaah.

Sehubungan itu, Encik Deepak menuntut daripada pihak defendan secara bersama atau berasingan ganti rugi am RM600 juta (S$197 juta), ganti rugi teladan RM50 juta (S$16.4 juta) dan ganti rugi berpanjangan RM26 juta (S$8.6 juta). 

Sumber : Bernama/AI/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita