Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib dan anaknya diarah lunaskan tunggakan cukai RM1.7 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Najib Razak dan anaknya, Mohd Nazifuddin perlu melunaskan lebih RM1.7 bilion (S$492 juta) tunggakan cukai, bagi tahun 2011 hingga 2017 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Keputusan itu diperoleh selepas lima panel Mahkamah Persekutuan pada Isnin (16 Okt), diketuai Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan mantan Perdana Menteri Malaysia itu dan Encik Nazifuddin, terhadap penghakiman diperoleh LHDN untuk mendapatkan nilai cukai tersebut.

Turut bersidang ialah Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah, Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Abu Bakar Jais, lapor Astro Awani.

Menurut Hakim Nallini, responden mengenakan cukai ke atas Encik Najib dan anaknya, sebagaimana terpakai kepada semua warganegara.

Katanya, Akta Cukai Pendapatan dilaksana untuk memastikan pungutan cukai dibuat dengan cekap, demi kepentingan rakyat secara keseluruhanny. Malah Seksyen 106(3) akta itu mempunyai hubungan rasional dengan pungutan cukai mampan.

Beliau berkata, kuasa semakan perlembagaan yang terkandung dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan merupakan alat yang harus digunakan oleh Badan Kehakiman dengan berhati-hati.

Katanya, jika diaplikasikan secara sembarangan, perkara tersebut akan mengakibatkan kerosakan yang besar.

“Di rayuan ini, kuasa berkenaan mampu menjejaskan sistem pungutan cukai negara, dan menjejaskan fungsi kerajaan dan rakyat.

“Justeru, rayuan dua perayu ditolak dengan tiada perintah terhadap kos,” katanya.

Dalam kes tersebut, peguam, Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi mewakili Encik Najib dan Encik Nazifuddin. Sementara Ketua Peguam Cara Hasil, Dr Hazlina Hussain bagi pihak LHDN selaku responden.

Bagaimanapun, mantan Ahli Parlimen Pekan dan anaknya itu tidak hadir semasa prosiding berlangsung, seperti dinukil laporan lapor Astro Awani.

Encik Najib dan Encik Nazifuddin merayu, selepas dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020 membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai masing-masing sebanyak RM1.69 bilion (S$489 juta) dan RM37.6 juta (S$11 juta).

Dua beranak itu juga gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 September 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

Pada 10 Mei 2022, mereka memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Rayuan Enick Najib dan Encik Nazifuddin diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berdasarkan sembilan persoalan undang-undang.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Encik Najib, menuntut pemimpin politik itu membayar jumlah berkenaan bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Encik Nazifuddin pada 24 Julai 2019. Mereka mendakwa anak Najib itu belum membayar cukai untuk tahun taksiran selama tujuh tahun bermula dari 2011, seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Menurut laporan Astro Awani, Encik Najib dan Encik Nazifuddin juga menerima notis muflis daripada LHDN, kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Sumber : Agensi berita
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan