Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib berdepan 4 lagi perbicaraan kes

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$65.3 juta) berhubung penyelewengan dana bernilai RM42 juta (S$13 juta) milik SRC International Sdn Bhd pada Selasa (23 Ogos), ia bukan pengakhiran bagi bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak.

Selepas ini, Encik Najib bakal berdepan empat lagi perbicaraan kes lain yang berikut, seperti disorotkan Harian Metro:

1. Rasuah 1MDB RM2.28 bilion

Pada 20 September 2018, Encik Najib turut dikenakan 25 pertuduhan dalam perbicaraan membabitkan dana RM2.28 bilion (S$712 juta) 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi kesalahan yang didakwa dilakukan antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Selain itu, beliau berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pertuduhan itu membabitkan sembilan pertuduhan menerima RM2.08 bilion (S$646 juta), tujuh pertuduhan memindahkan RM2.19 bilion (S$684 juta) dan lima pertuduhan menggunakan RM22.65 juta (S$7.07 juta). 

Perbicaraan masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pada 23 Jun, lapor Harian Metro, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah, bahawa ada 20 lagi baki saksi sebelum pihak pendakwaan menyelesaikan kes.

Sebaik sahaja peringkat pendakwaan kes itu selesai, hakim akan mendengar hujahan kedua-dua pihak untuk memutuskan sama ada terdapat kes prima facie terhadap Encik Najib.

Jika diarah membela diri, Encik Najib ada pilihan iaitu berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan, memberi pernyataan tidak bersumpah tanpa disoal balas pihak pendakwaan atau memberi keterangan di bawah sumpah atau membenarkan pihak pendakwaan menyoal balasnya.

2. Pecah amanah RM6.6 bilion babitkan Mohd Irwan

Selain itu, Encik Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah, turut berdepan enam pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM6.64 bilion (S$2.07 bilion) dana kerajaan untuk pembayaran kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 21 Disember 2016 hingga 18 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34.

IPIC, dana kekayaan negara Abu Dhabi, adalah penjamin bersama dua bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion (S$4.9 bilion).

Perbicaraan yang sepatutnya dijadualkan pada September dan Oktober 2021 dilapangkan bagi memberi laluan kepada dua perbicaraan kes 1MDB membabitkan Encik Najib.

Ketika itu, Timbalan Pendakwa Raya Nik Syahril Nik Ab. Rahman memaklumkan saksi dan keterangan dikemuka dalam perbicaraan kes itu sama dengan kes 1MDB.

3. Meminda laporan akhir audit 1MDB bersama Arul Kanda

Encik Najib didakwa menyalah guna kuasa sebagai pegawai awam atas kapasiti sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu dalam mengubah laporan audit 1MDB yang akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu, Arul Kanda Kandasamy, didakwa bersubahat dengan Najib dalam dakwaan mengganggu laporan audit 1MDB semasa pertemuan dengan pegawai Jabatan Audit Negara pada 24 Februari 2016.

Perbicaraan ini juga berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan, lapor Harian Metro.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan perbicaraan bersambung sejak 18 Ogos 2022.

4. Pengubahan wang haram RM27 juta

Berdasarkan fakta kes, bekas perdana menteri keenam itu bakal berdepan tiga lagi pertuduhan tambahan berhubung SRC International yang belum didengari di mahkamah.

Ia membabitkan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta (S$8.4 juta).

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Encik Najib didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan menerima RM27 juta (S$8.4 juta), RM10 juta (S$3.12 juta) dan RM10 juta ($3.12 juta) yang juga hasil aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan di AmIslamic Bank Bhd, Bangunan Kumpulan Ambank, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta (S$1.5 juta) atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan asal pada bulan Mei lalu ditangguh ke Ogos 2022. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFA 2001.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan