Skip to main content

Dunia

Najib bayar dua entiti melalui cek kepada orang tengah - saksi

Pembayaran yang dibuat Encik Najib Razak kepada dua entiti iaitu penerbitan mingguan bahasa Cina dan pentadbir laman Facebook tidak secara terus tetapi melalui orang tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib bayar dua entiti melalui cek kepada orang tengah - saksi

Encik Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 29 Aug 2019 05:19PM Dikemas Kini : 29 Aug 2019 05:22PM

KUALA LUMPUR: Pembayaran yang dibuat Encik Najib Razak kepada dua entiti iaitu penerbitan mingguan bahasa Cina dan pentadbir laman Facebook tidak secara terus tetapi melalui orang tengah.

Bekas Setiausaha Politik bekas perdana menteri itu, Encik Wong Nai Chee, 50 tahun, berkata tindakan berkenaan bagi mengelak cek itu disebarkan di Facebook.

Saksi yang merupakan seorang peguam berkata ia juga bagi menghalang pihak lain meraih faedah daripada cek itu untuk meningkatkan kredibiliti mereka.

Wong, saksi kelima pendakwaan berkata cek bernilai RM246,000 (S$81,000) ditandatangani Encik Najib, dikeluarkan kepada hartawan, Encik Lim Soon Peng, yang kemudiannya membuat pembayaran balik kepada Akademi Kewartawanan dan Informasi, serta AD Network (kedua-dua entiti itu) bagi mengelak daripada disebar di Facebook.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan dalam kes itu, Encik Gopal Sri Ram pada hari kedua perbicaraan kes Encik Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$0.76 bilion) dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Saksi itu berkata Akademi Kewartawanan dan Informasi terlibat dalam penerbitan mingguan bahasa Cina manakala AD Network merupakan pentadbir laman Facebook Ah Jib Gor.

Encik Wong bagaimanapun menjelaskan bahawa Encik Lim tiada kaitan dengan kedua-dua entiti tersebut.

Wong mengesahkan bahawa beliau menerima sekeping cek bertarikh 21 Jan, 2012, bernilai RM30,000 (S$10,000) yang ditandatangani Encik Najib, namun tidak boleh ingat bila sebenarnya beliau menerima cek tersebut tetapi percaya bahawa jumlah itu dibayar kepada penganalisis politik.

Terdapat juga cek bernilai RM2,600 (S$855) bertarikh 29 Mei, 2012, yang tidak dapat diingatinya.

Semasa disoal peguam Encik Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Encik Najib sama ada beliau didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram, Encik Wong berkata: "tidak, tidak pernah".

Encik Najib, 66 tahun, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$0.76 bilion) dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita