Najib, Arul Kanda akan didakwa esok - SPRM
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak serta mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, akan menghadapi pertuduhan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB esok (12 Dis).
PUTRAJAYA: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak serta mantan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, akan menghadapi pertuduhan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB esok (12 Dis).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini (11 Dis) berkata ia sudah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Encik Najib dan Encik Arul Kanda di mahkamah esok (12 Dis).
"Bacaan pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Sesyen berasingan di Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 Disember 2018, jam 8.00 pagi,” kata SPRM.
SPRM menahan Encik Najib kira-kira dua jam setengah semalam (10 Dis) bagi melengkapkan proses akhir siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.
SPRM menyatakan Encik Arul Kanda pula ditahan pada pukul 10.32 pagi hari ini (11 Dis) ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM bagi tujuan sama. Encik Arul Kanda tiba di SPRM kira-kira 9.30 pagi.
Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB diubah dan Encik Najib tahu mengenai perkara itu.
Dr Madinah turut mendedahkan dua perkara penting digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.
Pada hari sama, SPRM dilaporkan menyatakan pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.
Berikutan itu, beberapa individu dipanggil SPRM untuk membantu siasatan kes antaranya bekas Ketua Audit Negara Encik Ambrin Buang dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.