Najib akan terus ditahan di Penjara Kajang hingga denda RM50 juta dibayar
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak diiringi pegawai penjara di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 22 Disember 2025. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)
- Najib Razak akan kekal di Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta di bawah pengampunan bersyarat dibayar kepada mahkamah.
- Tetuan Shafee & Co berkata pengampunan Sultan Ibrahim membolehkan Najib menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah, tertakluk kepada pematuhan syarat.
- Pembayaran denda terjejas kerana banyak aset, akaun bank dan hartanah Najib masih dibekukan atau tertakluk kepada penguatkuasaan kerajaan.
- Najib berterima kasih kepada Sultan Ibrahim, Lembaga Pengampunan, Ahmad Zahid Hamidi, UMNO, Barisan Nasional dan rakyat, sambil meminta privasi keluarga dihormati.
Firma guaman Tetuan Shafee & Co yang mewakili mantan perdana menteri Malaysia itu berkata, pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim membolehkan anak guamnya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, lapor Astro AWANI.
Bagaimanapun, menurut firma berkenaan, pelaksanaan tahanan rumah itu bergantung kepada pematuhan syarat yang ditetapkan.
“Sementara itu, dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada di dalam Penjara Kajang.
“Anak guam kami serta pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya,” menurut firma guaman tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad (20 Sep).
Berhubung pembayaran denda RM50 juta, Tetuan Shafee & Co menjelaskan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.
Menurut kenyataan itu, pelupusan aset berkenaan tidak berada sepenuhnya dalam kawalan Najib pada masa ini.
Justeru, keupayaannya untuk memenuhi syarat pembayaran tersebut bergantung sebahagiannya kepada perkara yang berada di luar kawalannya.
Najib kini mendapatkan nasihat dan sedang menimbangkan pilihan yang tersedia bagi menentukan kaedah terbaik untuk memenuhi syarat berkenaan.
Dalam kenyataan sama, Najib menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas perkenan Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa prerogatif pengampunan diraja dengan memperkenankan pengampunan bersyarat tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan terhadap permohonannya.
Najib turut berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta kepimpinan dan ahli UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat.
Beliau juga menghargai rakyat Malaysia yang menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat ditetapkan, namun tidak mahu mana-mana pihak berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas namanya, menurut Astro AWANI.
Najib pada masa yang sama memohon agar privasi keluarganya dihormati, manakala pasukan peguamnya memaklumkan tidak akan memberikan ulasan lanjut buat masa ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.