Naib presiden AS, Mike Pence akan hadiri upacara angkat sumpah jawatan Joe Biden
Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence, akan menghadiri upacara angkat sumpah jawatan bakal presiden Joe Biden.
Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence. (Gambar: AFP/Brendan Smialowski)
WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence, akan menghadiri upacara angkat sumpah jawatan bakal presiden Joe Biden.
Demikian menurut beberapa laporan media sejak semalam (9 Jan).
Ini bermakna, Encik Pence adalah antara yang terbaru dalam kalangan sekutu Encik Donald Trump yang tidak lagi mengikut jejak presiden itu.
Semalam (9 Jan) Encik Trump mengumumkan bahawa beliau tidak akan menghadiri upacara itu, yang secara tradisi dihadiri oleh kedua-dua presiden dan bakal presiden.
Sebelum ini, Encik Pence adalah antara penyokong kuat Encik Trump. Namun hubungan mereka mula keruh sejak Rabu (6 Jan) apabila Encik Pence secara rasmi mengisytiharkan kemenangan Encik Biden dalam pilihan raya yang diadakan dalam bulan November 2020.
Pada Rabu lalu juga, para penyokong sayap kanan menunjuk perasaan dan memecah masuk bangunan Capitol Amerika Syarikat, dalam usaha mereka untuk menghentikan Kongres daripada mengisytiharkan kemenangan Encik Biden.
Encik Trump dipersalahkan atas rusuhan yang menyebabkan lima orang maut.
Beberapa laporan media semalam memetik para pegawai kanan pentadbiran sebagai berkata bahawa Encik Pence - yang juga terpaksa berlindung daripada para perusuh tersebut - sudah memutuskan bahawa beliau akan menghadiri upacara angkat sumpah jawatan itu pada 20 Januari.
Encik Biden sebelum ini pernah berkata bahawa kehadiran Encik Pence ke upacara tersebut dialu-alukan.
"Saya rasa penting, walaupun kita cuba untuk mengekalkan tradisi yang sudah tercatat dalam sejarah tentang bagaimana peralihan kuasa sepatutnya dilakukan, kami berbesar hati untuk menerima kehadirannya (Encik Pence) dan teruskan peralihan kuasa," kata Encik Biden kepada wartawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.