Nahas pesawat Shah Alam: Kotak hitam perakam suara sudah ditemui

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (dua, kanan) semasa sidang media berkaitan nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam. (Gambar: BERNAMA)
SHAH ALAM: Kotak hitam perakam suara di ruang kokpit pesawat swasta yang terhempas di Lebuh Raya Guthrie di Shah Alam, Malaysia pada Khamis (17 Ogos), sudah ditemui.
Kesemua lapan orang di dalam pesawat Beechcraft Model 390 itu meninggal dunia termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, Johari Harun.
Seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal juga maut kerana dilanggar pesawat itu.
Hanya satu daripada 10 jenazah mangsa nahas itu ditemukan dalam keadaan sempurna, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Beliau berkata mayat sempurna yang ditemukan itu milik penunggang motosikal dan identiti mangsa dikenal pasti sementara menunggu proses pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) oleh ahli keluarga.
“Identiti pemandu kereta belum dikenal pasti, sama ada ia merupakan pemandu Grab dan membawa penumpang ataupun tidak,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, pada malam tadi.
Penguasa Penerbangan Awam Malaysia mengatakan tiada panggilan kecemasan diterima dari pesawat kendalian syarikat Jet Valet itu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke pula memberitahu sidang media bahawa pesawat tersebut telah melencong daripada laluannya.
Encik Loke berkata: "Daripada pengamatan awal, pesawat tersebut telah melencong ke tepi daripada laluan penerbangan ke sebelah kanan daripada laluan penerbangan yang sepatutnya."
Pesawat itu berlepas dari Langkawi dan tragedi tersebut berlaku hanya kira-kira dua minit sebelum pesawat itu dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pada pukul 2.50 petang.
Dalam perkembangan terkini, dua kenderaan pacuan empat roda dan satu trak milik Polis Diraja Malaysia yang membawa jenazah 10 mangsa itu tiba di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kira-kira 1.20 pagi tadi.
Semasa kenderaan itu tiba, ahli keluarga dan waris hanya dapat menunggu di laluan masuk ke unit berkenaan kerana mereka tidak dibenarkan memasuki pekarangan Jabatan Forensik ketika proses menurunkan kesemua jenazah dilakukan.
Difahamkan, proses bedah siasat akan dilakukan bermula 8.00 pagi ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.