Nahas pesawat di Nepal: Kotak hitam akan diperiksa di SG
Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membantu pihak berkuasa Nepal untuk mendapatkan dan memproses bacaan data daripada alat rakaman penerbangan pesawat 691 Yeti Airlines, yang terhempas di Pokhara pada 15 Januari.

(Gambar: AP)
SINGAPURA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membantu pihak berkuasa Nepal untuk mendapatkan dan memproses bacaan data daripada alat rakaman penerbangan pesawat 691 Yeti Airlines, yang terhempas di Pokhara pada 15 Januari.
Ini menyusuli permintaan daripada pihak berkuasa siasatan di Nepal, menurut seorang jurucakap MOT dalam satu kenyataan pada Khamis (26 Jan).
Proses itu akan dijalankan di kemudahan bacaan data rakaman penerbangan Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) MOT yang dibangunkan pada 2007.
"Semua maklumat berkaitan siasatan itu, termasuk perkembangannya dan hasil dapatan akan diuruskan oleh pihak berkuasa siasatan Nepal," menurut jurucakap itu.
Alat rakaman penerbangan yang lazimnya dikenali sebagai kotak hitam, ialah sebuah alat rakaman elektronik yang diletakkan di dalam pesawat untuk membantu siasatan berhubung nahas dan sebarang insiden semasa penerbangan.
Akhbar Kathmandu Post melaporkan pada Rabu (25 Jan) bahawa sebuah pasukan siasatan tiga anggota akan membawa alat rakaman data pesawat dan perakam suara kokpit ke Singapura.
Ia menukil setiausaha bersama di kementerian pelancongan Nepal, Buddhi Sagar Lamichhane, sebagai berkata bahawa pasukan itu berlepas ke Singapura pada Jumaat (27 Jan) dengan seluruh proses pemeriksaan itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu.
Sebelum ini, dicadangkan supaya kotak-kotak hitam itu dibawa ke Perancis, di mana pesawat ATR 72 dihasilkan.
Pada Februari 2020, MOT dan Kementerian Budaya, Pelancongan dan Penerbangan Awam Nepal memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai kerjasama berkaitan nahas pesawat dan siasatan insiden.
"MOU itu meliputi penggunaan kemudahan dan peralatan siasatan termasuk kemudahan bacaan alat rakaman penerbangan, latihan dan lampiran pemerhati," kata jurucakap itu.
Pemeriksaan kotak-kotak hitam itu di Singapura akan dilakukan secara percuma, menurut Post menukil Encik Lamicchane.
Pesawat 691 itu membawa 72 penumpang apabila ia terhempas ke dalam gaung ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Pokhara yang baru sahaja dibuka. Para pegawai berkata tiada orang yang terselamat.
Punca nahas yang paling buruk berlaku di Nepal sejak 30 tahun itu belum ditentukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.