Nahas pesawat Azerbaijan Airlines dapat dielak dengan penyelarasan betul
Penyelarasan yang lebih baik antara perkhidmatan tentera dan awam Rusia boleh mengelakkan berlaku nahas pesawat Azerbaijan Airlines berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan pada lewat bulan lalu, kata Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev pada Isnin (6 Jan).

Pesawat Azerbaijan Airlines terhempas di bandar Aktau, Kazakhstan pada 25 Dis 2024. (Gambar: AFP/Issa Tazhenbayev)
“Sekiranya langkah sewajarnya diambil untuk menutup ruang udara Rusia berhampiran bandar Grozny dan perkhidmatan darat mematuhi semua protokol yang diperlukan dengan penyelarasan yang betul antara angkatan bersenjata Rusia dan perkhidmatan awam, tragedi ini boleh dielakkan,” kata Presiden Aliyev semasa pertemuan dengan kru yang terselamat serta keluarga mangsa nahas itu, menurut kenyataan presiden Azerbaijan.
Encik Aliyev menyatakan bahawa beliau tidak mahu mendedahkan semua bahan bukti yang menjadi sebahagian daripada siasatan nahas itu, namun hasil siasatan awal telah dilaporkan kepadanya.
Berdasarkan laporan itu, Encik Aliyev berkata beliau boleh menyatakan dengan "penuh keyakinan" bahawa tanggungjawab atas kematian warga Azerbaijan dalam nahas itu terletak pada wakil Rusia.
“Kami menuntut keadilan, kami menuntut hukuman kepada pihak bertanggungjawab, dan kami menegaskan ketelusan serta akauntabiliti penuh dalam perkara ini. Prinsip kemanusiaan dan etika tingkah laku mesti diutamakan,” kata Encik Aliyev.
Beliau juga menekankan pemindahan kotak hitam yang ditemukan di lokasi nahas ke Brazil menggariskan tuntutan mereka terhadap objektiviti.
Encik Aliyev berkata mereka akan bersetuju dengan proses penyahkodan kotak hitam oleh "Commonwealth of Independent States’ Interstate Aviation Committee" jika mereka telah melihat usaha daripada pihak rasmi Persekutuan Rusia untuk menyiasat tragedi itu secara objektif dari awal lagi.
“Apabila kami menyaksikan usaha untuk meremehkan keseriusan kes ini -- mengaitkan insiden itu kepada burung atau letupan silinder gas -- saya dan rakyat Azerbaijan mula serius mempersoalkan objektiviti siasatan ini,” katanya lagi.
“Kotak hitam kini sedang dinyahkod, dan saya yakin bahawa hasil siasatan awal akan diketahui tidak lama lagi, menjelaskan butiran penuh mengenai tragedi ini,” tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.