Skip to main content

Dunia

Nahas pesawat Air India: Lebih 290 orang maut, 1 terselamat

Sebuah pesawat Air India dalam perjalanan ke London dari Ahmedabad, bandar di barat India terhempas pada Khamis (12 Jun), dan kesemua 242 penumpangnya dipercayai telah meninggal dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
 Nahas pesawat Air India: Lebih 290 orang maut, 1 terselamat

Bahagian belakang pesawat Air India selepas ia terhempas di kawasan perumahan berdekatan lapangan terbang di Ahmedabad pada 12 Jun 2025. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 Jun 2025 05:35PM Dikemas Kini : 13 Jun 2025 05:18AM
AHMEDABAD: Sebuah pesawat Air India dalam perjalanan ke London dari Ahmedabad, bandar di barat India terhempas pada Khamis (12 Jun), dan kesemua 242 penumpangnya dipercayai telah meninggal dunia. Pesawat itu terhempas atas bangunan yang menempatkan para doktor dan keluarga mereka.

Seorang wartawan AFP melihat orang ramai mengeluarkan mayat-mayat manakala pasukan bomba cuba memadamkan api selepas pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu terhempas atas bangunan semasa waktu makan tengah hari.

“Tragedi di Ahmedabad benar-benar mengejutkan dan menyedihkan kita semua. Ia amat memilukan sehingga sukar digambarkan dengan kata-kata,” kata Perdana Menteri Narendra Modi.

Pesuruhjaya Polis bandar itu GS Malik memberitahu AFP, "nampaknya tiada orang terselamat dalam nahas itu".

Pasukan penyelamat, yang dibantu oleh pasukan tentera, menemui "204 mayat", menurutnya, dengan para penumpang pesawat dan mereka dalam bangunan berkenaan dalam kalangan mangsa yang terkorban.

Wartawan AFP itu melihat sebahagian pesawat itu atas bumi dan sebuah bangunan dijilat api, dengan asap hitam tebal mengisi ruang udara.

"Separuh bahagian pesawat itu terhempas atas bangunan kediaman di mana para doktor tinggal bersama keluarga mereka," menurut Krishna, seorang doktor.

Bahagian depan pesawat dan tayar depannya terhempas atas kantin dalam bangunan di mana para pelajar sedang makan tengah hari," kata beliau.

Krishna melihat "sekitar 15 hingga 20 mayat rentung", manakala rakan-rakan beliau menyelamatkan sekitar 15 pelajar lain.

Penguasa Penerbangan Awam India mengatakan, 242 orang berada dalam pesawat itu termasuk dua juruterbang dan 10 kru kabin.

Air India memaklumkan terdapat 169 penumpang warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang rakyat Kanada dalam pesawat berkenaan, yang sedang menuju ke Gatwick di London.

Perdana Menteri UK Keir Starmer berkata, gambar-gambar daripada nahas itu amat memilukan, manakala Raja Charles III berkata, beliau terlalu terkejut.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar pula berkata beliau "sedih" dengan nahas di negara jirannya itu.

"Takziah atas kehilangan nyawa yang berharga dalam tragedi ini. Kami turut bersimpati dengan keluarga mangsa-mangsa," kata Encik Dar, di wadah media sosial X.

Direktorat Jeneral Penerbangan Awam India mengatakan, pesawat itu membuat panggilan kecemasan dan "terhempas beberapa minit selepas ia berlepas".

Menurut pihak berkuasa, pesawat itu terhempas di luar kawasan lapangan terbang.

Menteri Penerbangan India Ram Mohan Naidu Kinjarapu mengarahkan "semua agensi respons kecemasan dan penerbangan supaya mengambil tindakan segera dan diselaraskan."

"Pasukan penyelamat telah dikerahkan dan segala usaha dilaksanakan untuk memastikan bantuan perubatan dan sokongan segera dikerahkan ke tempat kejadian," katanya.

Lapangan terbang itu sudah ditutup dan semua penerbangan "digantung sehingga diberitahu kelak", menurut pengendalinya.

Pembuat pesawat Boeing dari Amerika mengatakan, ia sudah menghubungi Air India dan bersedia memberi sokongan. Menurut satu sumber rapat dengan kejadian itu, ini adalah kali pertama sebuah pesawat 787 Dreamliner terhempas.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita