Nahas maut di Perak: Tiada bukti kegagalan mekanikal bas
Laporan awal siasatan mengenai kemalangan yang mengorbankan 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak pada Isnin lalu (9 Jun) mendapati tiada bukti kegagalan sistem mekanikal pada bas berkenaan.
Kemalangan tidak berpunca daripada kegagalan sistem mekanikal bas. (Gambar: Bernama)
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata dapatan awal Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menunjukkan bahawa keadaan fizikal brek bas, kesemua pelapik brek dan dram brek bagi semua gandar masih dalam keadaan yang memuaskan.
“Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada dram brek mahupun kenipisan pada pelapik brek. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu (14 Jun).
Selain itu, Encik Loke mengatakan bahawa pemeriksaan fizikal tayar juga mendapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut beliau, komponen bahagian stering dan sistem penggantungan bas (suspension) juga secara keseluruhannya dalam keadaan memuaskan.
Justeru, Encik Loke berkata kemungkinan besar kemalangan itu berpunca daripada faktor-faktor lain seperti kesilapan manusia dan keadaan jalan raya.
Kata beliau, langkah penambahbaikan yang sewajarnya akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti, bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkat.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kami. Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan, akan terus diperketat secara berterusan."
Encik Loke turut merakamkan ucapan takziah daripada MOT kepada semua keluarga mangsa, selain memberi komitmen untuk memastikan keadilan ditegakkan dan tragedi seperti itu tidak berulang.
Dalam kejadian tersebut, 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas, serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.