'Nahas' lori akibatkan tumpahan asid di Linkedua; 11 agensi S'pura, M'sia dikerah
Akibat terkena serangan jantung, seorang pemandu lori yang sedang membawa muatan berisi 20 tong berisi asid hidroklorik (HCL) pengsan lalu melanggar sebuah lori tangki gas amonia di Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) hari ini (25 Sep).
11 agensi S'pura-M'sia termasuk NEA dan SCDF terlibat dalam latihan simulasi kecemasan tumpahan bahan kimia kali ke-12 di Linkedua pada 25 Sep 2019. (Gambar: SCDF/Facebook)
ISKANDAR PUTERI: Akibat terkena serangan jantung, seorang pemandu lori yang sedang membawa muatan berisi 20 tong berisi asid hidroklorik (HCL) pengsan lalu melanggar sebuah lori tangki gas amonia di Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) hari ini (25 Sep).
Dalam kejadian pada pukul 10.20 pagi itu, pemandu lori tangki berkenaan juga kelihatan rebah dan pengsan di tengah-tengah jalan. Ia dipercayai akibat terhidu HCL daripada empat tong yang terjatuh dan tertumpah di kedua-dua wilayah negara berkenaan.
Sebanyak dua tong HCL terjatuh dan pecah lalu memasuki sempadan Singapura manakala dua lagi tong yang terjatuh di wilayah Malaysia mula mengeluarkan asap.
Insiden tersebut menggemparkan pengguna laluan berkenaan dan keadaan kelihatan cemas apabila terdapat pelbagai agensi keselamatan daripada kedua belah negara mula tiba di lokasi kejadian.
Namun, kemalangan itu bukanlah situasi kejadian sebenar. Ia sebaliknya satu simulasi latihan kecemasan tumpahan bahan kimia kali ke-12 yang menyaksikan kerjasama antara Malaysia dengan Singapura.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar berkata di bawah program dua hala kedua-dua negara itu, seramai 250 anggota daripada 11 agensi terlibat dalam latihan kali ini.
Selain JAS, turut terlibat adalah Agensi Sekitaran Nasional (NEA) Singapura, Pasukana Pertahanan Awam Singapura, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
“Setiap tahun, kami meneliti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dibuat bersama JAS dan NEA. Kami akan uji semula untuk lihat keberkesanannya.
“Selepas ada post-mortem antara JAS dengan NEA, daripada situ barulah kami akan kenal pasti apa yang perlu kita tambah baik dan mantapkan (SOP),” kata Norlin.
Turut hadir menyaksikan latihan simulasi tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NEA Tan Meng Dui.
Menurut Norlin, setiap tahun, sebanyak 160,000 tan metrik bahan kimia berbahaya melalui lebuh raya yang menghubungkan kedua negara itu.
“Setakat ini, tiada kes kemalangan dilaporkan. Sebab itu kami bersedia dengan langkah pencegahan. Justeru itu, kami kena bekerjasama sebagai satu pasukan (Malaysia-Singapura),” ujarnya.
Latihan kecemasan yang bermula pada kira-kira jam 10.20 pagi itu diadakan dalam keadaan hujan renyai-renyai dan berlangsung selama 30 minit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.