Nahas kapal dagang di Kota Tinggi: 6 kru selamat, 3 masih hilang
Enam kru selamat manakala tiga masih hilang apabila sebuah kapal dagang, MV Amanda terbalik dan karam di perairan Kota Tinggi, petang tadi (25 Dis).
Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melakukan rondaan. (Gambar hiasan: MANAN VATSYAYANA / AFP)
JOHOR BAHRU: Enam kru selamat manakala tiga masih hilang apabila sebuah kapal dagang, MV Amanda terbalik dan karam di perairan Kota Tinggi, petang tadi (25 Dis).
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC Johor) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari danmenyelamat (SAR) sejurus menerima maklumat laporan kejadian yang berlaku pada jam 2.00 petang di kedudukan 3.3 batu nautika timur Tanjung Sepang, Kota Tinggi itu.
“Berdasarkan maklumat kapten kapal, MV Amanda sudah mengalami kerosakan pada jana kuasa dan menyebabkan wheel kapal tidak dapat berfungsi.
“Kapten kapal sudah membuat full astern (undur penuh), namun, kapal tidak dapat berundur kerana ombak terlalu kuat,” katanya menerusi satu kenyataan pada malam ini.
Encik Aminuddin berkata ombak menolak kapal tersebut sehingga bertembung dengan kapal lain lalu menyebabkan MV Amanda terbalik dan karam.
Beliau berkata bilangan kru MV Amanda dilaporkan seramai sembilan orang iaitu enam selamat manakala tiga masih hilang.
Menurut Encik Aminuddin, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) sudah ditubuhkan di Pos Maritim Pengerang dekat Kota Tinggi bagi menyelaras usaha mencari mangsa yang masih hilang.
Sebanyak tiga kapal dan sebuah bot daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Marin sudah berada di lokasi kejadian bagi operasi SAR tersebut.
Sementara itu, Encik Aminuddin dijangka mengadakan sidang media berhubung perkembangan kejadian itu di PHC Pos Maritim Pengerang, jam 10.00 pagi esok (26 Dis).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.