Nahas bas-kereta api ragut sekurang-kurangnya 8 nyawa di Bangkok, menurut polis
Sekurang-kurangnya lapan orang maut selepas sebuah kereta api kargo merempuh sebuah bas di Bangkok, ibu kota Thailand, pada Sabtu (16 Mei). Menurut polis, lebih 30 orang juga cedera dalam nahas itu.
Pasukan kecemasan menjalankan operasi di mana sebuah kereta api merempuh sebuah bas, beberapa kereta dan motosikal di Jalan Asok-Din Daeng, yang meragut nyawa beberapa mangsa di Bangkok, Thailand, pada 16 Mei 2026. (Gambar: REUTERS/Athit Perawongmetha)
This audio is generated by an AI tool.
Anggota bomba dan pasukan penyelamat mengepung lokasi kejadian, sementara para penyiasat dilihat memeriksa bangkai bas yang hangus terbakar.
Para pejalan kaki pula diarahkan untuk menjauhi persimpangan sibuk di pusat bandar itu, yang digunakan puluhan ribu kenderaan setiap hari.
“Lapan orang maut dan 35 yang lain cedera,” kata Ketua Polis Bangkok Urumporn Koondejsumrit kepada AFP sambil mengemas kini jumlah mangsa yang cedera daripada laporan sebelumnya.
Nahas itu berlaku pada awal petang.
Rakaman di media sosial menunjukkan kereta api tersebut menghampiri lintasan kereta api berkenaan pada kelajuan sederhana sebelum merempuh bas berkenaan, yang terbakar dengan serta-merta.
“Kebakaran sudah dipadamkan dan kami sedang berusaha untuk mengeluarkan mayat mangsa,” kata Encik Urumporn.
Api dilihat merebak dengan pantas.
“Saya tidak berani menoleh ke belakang untuk melihat sama ada terdapat sebarang mangsa,” kata seorang saksi yang berada berhampiran persimpangan itu bersama anak perempuannya kepada penyiar awam Thai PBS.
Timbalan Menteri Pengangkutan Siripong Angkasakulkiat dinukil media Thailand The Nation sebagai berkata siasatan awal mendapati bas milik Penguasa Transit Massa Bangkok itu terkandas di lampu merah ketika masih berada di atas landasan kereta api.
Disebabkan itu, palang lintasan kereta api tidak dapat diturunkan.
Kereta api yang membawa kontena itu juga sarat dengan muatan dan gagal berhenti tepat pada masanya.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul sudah mengarahkan agar siasatan dijalankan terhadap kejadian tersebut, menurut kenyataan dari pejabat beliau.
Nahas melibatkan pengangkutan sering berlaku di Thailand, yang kerap berada di tangga teratas senarai negara dengan jalan raya paling berbahaya di dunia.
Antara faktor penyumbang termasuk mereka yang memandu dengan laju, memandu dalam keadaan mabuk dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah.
Pada Januari lalu, sebuah kren runtuh di atas sebuah kereta api penumpang, mengorbankan 32 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain di timur laut Thailand.
Pada 2020 pula, 18 orang maut selepas sebuah kereta api kargo merempuh sebuah bas yang sedang membawa para penumpang ke satu upacara keagamaan.
Tiga tahun kemudian, lapan orang maut dalam nahas antara sebuah kereta api kargo dengan sebuah pikap yang melintasi landasan kereta api di timur negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.