Skip to main content

Dunia

Nahas bas di Perak: 13 jenazah pelajar UPSI tiba di Terengganu

Deraian air mata menyambut ketibaan konvoi 13 jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di pekarangan Masjid Hadhari, Jertih, kira-kira pukul 3.00 pagi pada Selasa (10 Jun), lapor BH Online.

Anggaran Waktu Membaca:
Nahas bas di Perak: 13 jenazah pelajar UPSI tiba di Terengganu

Jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tiba di Masjid Hadhari, Jertih, Terengganu pada 10 Jun 2025 untuk disolatkan. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 Jun 2025 10:27AM Dikemas Kini : 10 Jun 2025 10:35AM
BESUT: Deraian air mata menyambut ketibaan konvoi 13 jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di pekarangan Masjid Hadhari, Jertih, kira-kira pukul 3.00 pagi pada Selasa (10 Jun), lapor BH Online.

Ironinya, ia adalah lokasi sama di mana mereka berkumpul sebelum berpisah dengan keluarga pukul 9.00 malam pada Ahad untuk menaiki bas pulang ke Tanjung Malim demi menuntut ilmu.

Kali ini, mereka sekali lagi berkumpul berselang masa 30 jam untuk menyambut kepulangan insan tersayang ke kampung halaman, namun bezanya perpisahan kali ini adalah pemergian abadi.

Menurut BH Online, orang ramai mula berkumpul seawal pukul 12.00 tengah malam bagi menunggu ketibaan konvoi yang bergerak dari Ipoh, Perak.

Lebih 3,000 orang melaksanakan solat jenazah yang diimamkan Exco Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, kira-kira pukul 3.15 pagi.

Terdapat ahli keluarga yang dilihat tidak dapat menahan sebak melihat jenazah diusung masuk ke kawasan masjid untuk dibawa ke dewan Masjid Hadhari bagi solat jenazah.

Semua mangsa dikebumikan di kampung masing-masing pada pagi Selasa.

Dua jenazah terawal tiba dari Hospital Gerik di Besut kira-kira pada pukul 10.40 malam.

Jenazah Muhammad Adib Azim Halim, 21, disolatkan di Masjid Hadhari Jertih dan selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak di Hulu Besut, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Jenazah Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22, dibawa terus ke kampung halamannya di Kampung Amir untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Amir, pada tengah malam.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita