Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

NAFAS, Angkasa bantu kerajaan tangani kenaikan harga ayam & bekalan makanan, kata Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
NAFAS, Angkasa bantu kerajaan tangani kenaikan harga ayam & bekalan makanan, kata Ismail Sabri

(Gambar: Facebook/Ismail Sabri Yaakob)

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Encik Ismail Sabri, langkah proaktif yang akan diambil NAFAS dan Angkasa dengan terlibat dalam ekosistem industri ayam juga mampu menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“NAFAS dan Angkasa akan terlibat dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna.

“NAFAS menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor ayam setahun, manakala Angkasa sebanyak 30 juta ekor ayam setahun,” kata beliau dalam kenyataan hari ini (14 Jun). 

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS dan Anggota Lembaga Angkasa bagi membincangkan langkah-langkah menjamin keselamatan makanan negara, pagi tadi. 

Selain itu, Encik Ismail Sabri berkata NAFAS dan Angkasa akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam.

Beliau berkata bagi tujuan itu, NAFAS sudah mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.

Angkasa bersama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sudah mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan setiap hektar mampu mengeluarkan lima tan jagung bijirin serta menampung 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini.

“Usaha NAFAS dan Angkasa yang berskala besar ini diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam. Ini kerana NAFAS mempunyai seramai satu juta ahli, manakala tujuh juta ahli bernaung di bawah Angkasa melalui 14,835 koperasi.

Malah Angkasa juga diminta menerajui sektor koperasi dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

“Kerajaan menyambut baik inisiatif NAFAS dan Angkasa untuk terlibat secara signifikan dalam industri ternakan ayam. Ia selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam,” kata beliau. 

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan