Myanmar tolak ketetapan PBB seru sekatan senjata
Kementerian Luar Myanmar pada Sabtu (19 Jun) menolak ketetapan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru agar sekatan senjata dikuatkuasakan terhadap negara itu di samping mengutuk rampasan kuasa oleh pihak pada Februari lalu.
Polis dan tentera Myanmar meleraikan bantahan pada 3 Mac 2021 di Mandalay. (Gambar: AP)
BANGKOK: Kementerian Luar Myanmar pada Sabtu (19 Jun) menolak ketetapan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru agar sekatan senjata dikuatkuasakan terhadap negara itu di samping mengutuk rampasan kuasa oleh pihak pada Februari lalu.
Myanmar menyifatkan ketetapan itu, yang diluluskan pada Jumaat dan tidak tidak mengikat secara sah, sebagai "berdasarkan tuduhan berat sebelah". Kenyataan yang dikeluarkan dari ibu negara Naypyidaw menyatakan bahawa Kementerian Luar telah mengirim surat bantahan kepada setiausaha agung dan presiden Perhimpunan Agung PBB.
Ketetapan itu membayangkan kata sepakat masyarakat antarabangsa yang mengutuk keras rampasan kuasa tentera yang menggulingkan pemerintah dipilih pimpinan Cik Aung San Suu Kyi. Ia menggesa junta tentera supaya mengembalikan tampuk kepimpinan demokratik negara itu, sambil mengutuk "keganasan keterlaluan sehingga membawa maut" sejak rampasan kuasa itu dan meminta semua negara "supaya menyekat penjualan senjata kepada Myanmar".
Ketetapan itu juga menyeru tentera Myanmar supaya segera membebaskan Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint dan pegawai dan anggota politik lain yang ditahan sejak rampasan kuasa tersebut termasuk "semua orang yang ditahan, dituduh atau ditangkap secara sewenang-wenangnya".
Ketetapan itu dipersetujui dengan 119 negara menyokongnya, dengan Belarus - pembekal utama senjata kepada Myanmar - menolaknya dan 36 negara yang memutuskan untuk tidak mengundi, termasuk negara-negara jiran seperti China dan India, serta Rusia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.