Skip to main content

Dunia

Myanmar sekat semula Internet di Rakhine susuli kematian 2 wanita Rohingya

Myanmar sekali lagi menguatkuasakan sekatan Internet di dua wilayah yang terletak di bahagian barat negara itu selepas menarik balik sebahagian sekatan tersebut lima bulan yang lalu, menurut pengendali telko utama pada lewat Isnin (3 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Myanmar sekat semula Internet di Rakhine susuli kematian 2 wanita Rohingya

Gambar fail polis Myanmar di Rakhine pada Julai 2019 (Gambar: Reuters/Ann Wang)

Diterbitkan : 04 Feb 2020 04:01PM Dikemas Kini : 04 Feb 2020 04:05PM

YANGON: Myanmar sekali lagi menguatkuasakan sekatan Internet di dua wilayah yang terletak di bahagian barat negara itu selepas menarik balik sebahagian sekatan tersebut lima bulan yang lalu, menurut pengendali telko utama pada lewat Isnin (3 Feb).

Telenor Group dari Norway memberitahu dalam satu kenyataan bahawa kementerian pengangkutan dan perhubungan negara itu mengarahkan sekatan Internet di lima bandar di wilayah Rakhine dan Chin selama tiga bulan.

Sekatan Internet selama berbulan-bulan di empat buah bandar di Rakhine - Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung and Myebon - dan satu bandar di Chin ditarik balik pada September lalu di tengah-tengah rundingan damai yang bermatlamat untuk menamatkan pertikaian antara tentera pemerintah dengan kumpulan-kumpulan pemberontak.

Para pegawai menukil "keperluan keselamatan dan kepentingan awam" sebagai sebab di sebalik penguatkuasaan sekatan tersebut sekali lagi, menurut Telenor. Menurut syarikat telko itu lagi, empat bandar lain masih di bawah sekatan asal yang dikuatkuasakan sejak Jun tahun lalu.

Tun Tun Nyi, seorang jurucakap tentera Myanmar, berkata pihak tentera tidak tahu-menahu tentang sekatan itu.

Para pegawai kementerian bagaimanapun tidak mahu memberikan komen kepada Reuters.

BEDILAN MERIAM BUNUH 2 DI KAMPUNG ROHINGYA

Perintah itu dikeluarkan di tengah-tengah keganasan yang semakin memuncak. Dua wanita terbunuh dan tujuh yang lain cedera bulan lalu apabila sebuah kampung kaum Rohingya di wilayah Rakhine terkena bedilan meriam.

Tentera Myanmar menolak tuduhan bahawa pihaknya bertanggungjawab atas serangan itu, yang berlaku dua hari selepas mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerintahkan Myanmar supaya melindungi kaum Rohingya.

Lebih 730,000 Muslim Rohingya terpaksa melarikan diri dari wilayah utara Rakhine sejak 2017 menyusuli tindakan keras tentera yang menurut PBB dilakukan dengan niat untuk menghapuskan kaum tersebut. Pihak tentera sebaliknya menegaskan bahawa langkah itu adalah sebagai tindak balas terhadap serangan oleh militan Rohingya ke atas pasukan keselamatan.

Baru-baru ini, wilayah itu terjejas dengan pertempuran antara pihak tentera dengan Tentera Arakan (Arakan Army), sebuah kumpulan pemberontak dari Rakhine yang menuntut kebebasan bagi wilayah itu selama lebih setahun yang lalu. Konflik terbaru menjejas berpuluh-puluh ribu orang dan meragut berpuluh-puluh nyawa.

Para penggubal dasar di kawasan terjejas berkata sekatan Internet menjejas teruk perniagaan dan boleh menghalang bantuan yang dihulurkan kepada kampung-kampung yang terjejas akibat pertempuran dengan pihak tentera.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita