Skip to main content

Dunia

Myanmar perlu tangani isu bekalan elektrik, infrastruktur untuk pulihkan sektor pelancongan

Myanmar, yang kini berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah bekalan elektrik dan rangkaian pengangkutan, menerima kira-kira 800,000 pelancong sehingga Oktober lalu, mencerminkan pertumbuhan hambar sektor pelancongannya.
Anggaran Waktu Membaca:
Myanmar perlu tangani isu bekalan elektrik, infrastruktur untuk pulihkan sektor pelancongan
Menurut Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMO), industri pelancongan Myanmar berpotensi untuk berkembang. (Gambar: Kementerian Hotel dan Pelancongan Myanmar, melalui Bernama)
PHNOM PENH: Myanmar, yang kini berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah bekalan elektrik dan rangkaian pengangkutan, menerima kira-kira 800,000 pelancong sehingga Oktober lalu, mencerminkan pertumbuhan hambar sektor pelancongannya.

Bencana alam, ketidakstabilan politik dan kebimbangan keselamatan terus mengekang pertumbuhan industri pelancongan Myanmar yang terkenal dengan pantai yang masih terpelihara, hutan hujan, hidupan liar serta tapak arkeologi tersohor.

Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), dalam laporan yang diterbitkan pada Khamis (20 Nov) menyatakan sektor pelancongan Myanmar berpotensi untuk berkembang, namun ia perlu menyelesaikan isu asas bagi memulihkan semula industri berkenaan.

“Myanmar menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur sejak 2022, dan langkah dasar proaktif mencerminkan potensi kukuh bagi pertumbuhan pelancongan yang mampan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan di seluruh negara.

“Namun mengatasi kekangan struktur adalah kunci untuk membuka sepenuhnya potensi pertumbuhan sektor pelancongan,” menurut laporan bertajuk “Myanmar's Tourism Industry: Recent Developments, Prospects and Challenges Ahead”.

Laporan itu mengenal pasti cabaran utama termasuk memulihkan jaringan penerbangan, memastikan bekalan elektrik mencukupi, meningkatkan pengangkutan jalan raya dan mengembalikan keyakinan terhadap sektor pelancongan.

Setakat Ogos lalu, Myanmar hanya mempunyai 19 sambungan penerbangan antarabangsa terus merentasi 10 negara — angka yang rendah berbanding kebanyakan negara serantau lain, menurut AMRO.

Badan pemikir yang berpusat di Singapura itu menggesa semakan menyeluruh terhadap sektor pelancongan memandangkan ia merupakan tunjang penting ekonomi Myanmar, menjana jutaan pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti hospitaliti, pengangkutan dan perusahaan tempatan.

Sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021, pertumbuhan ekonomi Myanmar merosot, manakala sektor pelancongan turut terjejas dengan ketara apabila jumlah pelancong asing merudum.

Keadaan bertambah buruk apabila negara itu berdepan pelbagai bencana alam setiap tahun termasuk taufan, gempa bumi, banjir hingga tanah runtuh yang merosakkan infrastruktur utama seperti jambatan, penjanaan elektrik dan jalan raya.

Laporan itu turut menekankan selain cabaran geopolitik, sektor pelancongan Myanmar mesti menyesuaikan diri dengan persaingan serantau yang semakin sengit dan perubahan trend pelancongan antarabangsa.

Myanmar berdepan persaingan ketara daripada negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja, yang memiliki infrastruktur pelancongan lebih mantap untuk menarik pengunjung asing.

“Sejak pandemik COVID-19, landskap pelancongan turut berubah, selaras perubahan tingkah laku pelancong antarabangsa seperti keutamaan terhadap kemudahan digital dan amalan mampan.

“Faktor-faktor ini menimbulkan cabaran besar bagi Myanmar untuk membuka potensi penuh industri pelancongannya pada masa depan,” menurut AMRO.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita