Myanmar kepung kota Rakhine ekoran penularan jenis COVID-19 lebih mudah berjangkit
Myanmar melaksanakan perintah kepungan di ibu kota wilayah Rakhine yang bergolak menyusuli penularan satu jenis virus COVID-19 yang menurut para pegawai lebih mudah berjangkit daripada yang dilihat di negara itu sebelum ini.
Penghuni kem pelarian sementara di Sittwe, Rakhine pada 29 Jul 2020. (Gambar: AFP)
YANGON: Myanmar melaksanakan perintah kepungan di ibu kota wilayah Rakhine yang bergolak menyusuli penularan satu jenis virus COVID-19 yang menurut para pegawai lebih mudah berjangkit daripada yang dilihat di negara itu sebelum ini.
Seramai 19 orang diuji positif bagi virus tersebut di wilayah barat itu sejak Isnin, kata pegawai kesihatan pada Jumaat (21 Ogos), menjadikannya penularan tempatan pertama di Myanmar dalam beberapa bulan dan membawa jumlah keseluruhan kes kepada 409.
Myat Htut Nyunt, timbalan pengarah di jabatan penyelidikan perubatan Myanmar, berkata jenis virus itu sama dengan mutasi yang dikesan awal minggu ini di Malaysia, yang telah ditemui di Eropah, Amerika Utara, dan beberapa bahagian di Asia dan dipercayai lebih mudah berjangkit.
"Oleh itu, kami ingin memberitahu orang ramai bahawa virus jenis ini mempunyai kadar penularan yang lebih pantas," kata pegawai itu.
Kebanyakan kes baru-baru ini berlaku di kota Sittwe, di mana para pegawai telah mengeluarkan arahan jangan keluar rumah dan melaksanakan perintah berkurung waktu malam.
Syarikat penerbangan domestik telah menggantung perkhidmatan antara Sittwe dengan ibu kota komersial Yangon.
Puluhan ribu orang tinggal di kem-kem merata Rakhine ekoran pertempuran antara pasukan tentera pemerintah dengan pemberontak etnik.
Sittwe juga menempatkan kem di mana kira-kira 100,000 Muslim Rohingya dikurung sejak keganasan tercetus pada 2012. Kaum Rohingya rata-rata dinafikan kerakyatan dan menghadapi sekatan ketat ke atas kebebasan pergerakan dan untuk mendapatkan penjagaan kesihatan.
Kyaw Hla, pemimpin masyarakat di sebuah kem, berkata kakitangan pemerintah berkunjung pada Jumaat namun keadaan di sana terlalu teruk untuk mematuhi nasihat jarak sosial dan kebersihan.
"Tidak OK tinggal di sini, di ruang kecil dengan ramai orang. Kami selalu ada kebimbangan di kem, COVID-19 atau masalah lain. Keluarga tinggal dalam bilik berukuran panjang 8 kaki lebar 10 kaki atau panjang 8 kaki lebar 14 kaki. Keadaan tidak akan menjadi lebih baik."
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.