Skip to main content

Dunia

Myanmar keluar mengundi dalam fasa kedua pilihan raya kendalian tentera

Para pengundi di Myanmar yang dilanda perang beratur pada Ahad (11 Jan) untuk mengundi dalam peringkat kedua pilihan raya yang dikendalikan pihak tentera, menyusuli kadar keluar mengundi yang rendah pada pusingan awal pengundian yang dikritik secara meluas sebagai alat untuk merasmikan pemerintahan junta.
Anggaran Waktu Membaca:
Myanmar keluar mengundi dalam fasa kedua pilihan raya kendalian tentera
Seorang pegawai memeriksa slip contoh daripada mesin pengundian elektronik semasa mereka membuat persiapan untuk membuka sebuah pusat mengundi di sebuah biara, sehari sebelum fasa kedua pilihan raya umum di Yangon, Myanmar, pada 10 Januari 2026. (Gambar: AP/Thein Zaw)
YANGON: Para pengundi di Myanmar yang dilanda perang beratur pada Ahad (11 Jan) untuk mengundi dalam peringkat kedua pilihan raya yang dikendalikan pihak tentera, menyusuli kadar keluar mengundi yang rendah pada pusingan awal pengundian yang dikritik secara meluas sebagai alat untuk merasmikan pemerintahan junta.

Pusat-pusat pengundian dibuka pada pukul 6.00 pagi waktu tempatan di 100 bandar kecil di seluruh negara, termasuk di sebahagian wilayah Sagaing, Magway, Mandalay, Bago dan Tanintharyi, serta negeri Mon, Shan, Kachin, Kayah dan Kayin.

Kebanyakan kawasan tersebut menyaksikan pertempuran dalam beberapa bulan kebelakangan ini atau masih berada di bawah tahap keselamatan yang tinggi, menekankan risiko yang menyelubungi proses pengundian tersebut.

Pilihan raya berkenaan diadakan dalam tiga fasa berikutan konflik bersenjata. Pusingan pertama berlangsung pada 28 Disember di 102 daripada keseluruhan 330 bandar kecil di negara itu, diikuti fasa kedua pada Ahad. Pusingan terakhir dijadualkan pada 25 Januari, walaupun 65 bandar kecil tidak akan mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut akibat pertempuran.

Myanmar dibelenggu konflik sejak pihak tentera menggulingkan pemerintah awam dalam rampasan kuasa pada 2021 dan menahan pemimpinnya, penerima Hadiah Keamanan Nobel Aung San Suu Kyi, sekali gus mencetuskan perang saudara yang melanda sebahagian besar negara miskin dengan 51 juta orang penduduk itu.

Parti National League for Democracy (NLD) pimpinan Cik Suu Kyi, yang menyapu bersih pilihan raya terakhir pada 2020, dibubarkan bersama puluhan parti antijunta yang lain kerana gagal mendaftar bagi pilihan raya terbaharu ini, manakala kumpulan pemberontak pula enggan mengambil bahagian.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), banyak negara Barat serta kumpulan hak asasi manusia menyifatkan pilihan raya tersebut sebagai satu penipuan yang tidak bebas, tidak adil dan tidak boleh dipercayai, berikutan ketiadaan pembangkang yang bermakna.

SEKUTU TENTERA MELANGKAH KE ARAH KEMENANGAN

Parti Union Solidarity and Development (USDP) yang disokong tentera kini mendahului dengan jurang yang besar selepas memenangi 90 daripada 102 kerusi dewan rakyat yang dipertandingkan dalam fasa pertama pada 28 Disember, yang hanya mencatat kadar mengundi sebanyak 52.13 peratus, jauh lebih rendah berbanding pilihan raya 2020 dan 2015.

“USDP berada di landasan menuju kemenangan besar, yang tidak mengejutkan memandangkan medan persaingan telah diubah untuk memihak kepadanya. Ini termasuk penyingkiran para pesaing yang serius serta penggubalan undang-undang yang direka untuk menyekat tentangan terhadap pilihan raya,” kata Richard Horsey, penasihat kanan Myanmar bagi Crisis Group.

Tom Andrews, pelapor khas yang bekerjasama dengan Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menggesa masyarakat antarabangsa pada Khamis supaya menolak apa yang disifatkannya sebagai “pilihan raya palsu”, sambil berkata bahawa pusingan pertamanya mendedahkan unsur paksaan, keganasan dan pengecualian politik.

“Anda tidak boleh mengadakan pilihan raya yang bebas, adil atau boleh dipercayai apabila ribuan tahanan politik berada di penjara, parti pembangkang yang boleh dipercayai dibubarkan, wartawan dikekang, dan kebebasan asas dimusnahkan,” kata Encik Andrews.

Lebih 22,000 tahanan politik kini meringkuk dalam penjara junta, menurut kumpulan advokasi Assistance Association for Political Prisoners.

Walaupun lebih 4,800 calon daripada 57 parti bertanding untuk merebut kerusi dalam badan perundangan nasional dan wilayah, hanya enam parti bersaing di peringkat nasional dengan kemungkinan memperoleh pengaruh politik di parlimen.

Badan perundangan nasional Myanmar mempunyai dua dewan, dengan keseluruhan 664 kerusi. Parti yang memperoleh majoriti gabungan parlimen boleh memilih presiden baharu, yang seterusnya boleh melantik Kabinet dan membentuk pemerintah baharu. Tentera secara automatik menerima 25 peratus kerusi di setiap dewan di bawah Perlembagaan.

Junta menyatakan bahawa pilihan raya itu akan membawa kepada kestabilan politik dan masa depan yang lebih baik bagi negara tersebut, yang kini berdepan salah satu krisis kemanusiaan paling serius di Asia.

Sekurang-kurangnya 16,600 orang awam terbunuh akibat konflik sejak rampasan kuasa, menurut Projek Data Lokasi & Peristiwa Konflik Bersenjata, manakala PBB menganggarkan 3.6 juta orang sudah dipindahkan.

Namun, para penganalisis memberi amaran bahawa usaha junta untuk membentuk pentadbiran yang stabil di tengah-tengah konflik yang berlarutan penuh dengan risiko, dan mana-mana pemerintah yang dikawal tentera berkemungkinan besar tidak akan memperoleh pengiktirafan antarabangsa yang meluas.

Ketua junta Min Aung Hlaing pada bulan lalu mengelak daripada menjawab soalan wartawan berhubung cita-cita politiknya.

Beliau memuji pilihan raya itu sebagai satu kejayaan semasa satu lawatan pada minggu lalu ke sebuah bandar kecil di tengah Myanmar, di mana beliau menggesa pihak berkuasa supaya berusaha untuk meningkatkan lagi kadar pengundian.

“Dalam fasa pertama pilihan raya, sejumlah besar undi telah dibuat, menunjukkan bahawa rakyat mempunyai keinginan yang kuat untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi,” menurut petikan kata-katanya yang disiarkan media negara.

“Oleh itu, pilihan raya ini boleh dianggap sebagai satu kejayaan.”
Sumber : Agensi berita
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita