Myanmar isytihar darurat di 60 bandar
Awal minggu ini, Presiden Myanmar Min Aung Hlaing menetapkan tempoh 100 hari untuk rundingan damai dengan kumpulan bersenjata anti-pemerintah. (Gambar fail/AP)
Pejabat Presiden memaklumkan bahawa langkah darurat yang diumumkan pada Khamis (23 Apr) bertujuan untuk mengekang pemberontakan bersenjata, memulihkan kestabilan serta menguatkuasakan kedaulatan undang-undang, menurut laporan media tempatan Eleven Myanmar.
Di bawah perintah itu, kuasa pentadbiran dan kehakiman diserahkan kepada panglima tertinggi angkatan tentera.
Kepimpinan tentera kemudian mewakilkan kuasa itu kepada komander wilayah, yang diberi kawalan langsung ke atas operasi keselamatan di kawasan-kawasan terjejas.
Para pegawai berkata komander juga boleh memberikan tanggungjawab kepada pegawai bawahan bergantung kepada situasi di lapangan.
Langkah itu secara efektif meletakkan kawasan terlibat di bawah undang-undang tentera, sekali gus memperluaskan kuasa tentera ke atas pentadbiran dan proses perundangan.
Di bawah peruntukan itu, tribunal tentera boleh membicarakan orang awam, dengan hukuman termasuk hukuman penjara jangka panjang hingga hukuman mati bagi kes-kes serius.
Awal minggu ini, Presiden Myanmar Min Aung Hlaing menetapkan tempoh 100 hari untuk rundingan damai dengan kumpulan bersenjata anti-pemerintah serta menjemput pihak yang menandatangani dan tidak menandatangani Perjanjian Gencatan Senjata Seluruh Negara (NCA) untuk menyertai rundingan.
Perjanjian itu ditandatangani bersama lapan kumpulan bersenjata pada Oktober 2015.
Tentera Myanmar merampas kuasa pada Februari 2021 selepas menggulingkan pemerintah yang diterajui Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD).
Encik Min dilantik sebagai presiden oleh parlimen yang disokong tentera pada awal bulan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.