Skip to main content

Dunia

Myanmar hadapi risiko 'membimbangkan' meningkatnya kemungkinan perang saudara: PBB

Ketua hak asasi manusia PBB pada Khamis (23 Sep) seru ASEAN dan masyarakat antarabangsa lakukan sesuatu bantu keadaan di Myanmar "sebelum terlambat".

Anggaran Waktu Membaca:
Myanmar hadapi risiko 'membimbangkan' meningkatnya kemungkinan perang saudara: PBB

Penunjuk perasaan dilihat di Hledan, Yangon di Myanmar pada 17 Feb 2021.

Diterbitkan : 24 Sep 2021 08:49AM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 08:54AM

GENEVA: Myanmar sedang menghadapi prospek yang membimbangkan tentang meningkatnya kemungkinan berlaku perang saudara sedang tentangan terhadap junta tentera semakin meluas, kata ketua hak asasi manusia PBB pada Khamis (23 Sep).

Michelle Bachelet memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa masa semakin suntuk bagi negara-negara lain untuk cuba meningkatkan usaha memulihkan demokrasi dan mencegah konflik yang lebih luas.

Myanmar dicengkam pergolakan sejak pemerintah Aung San Suu Kyi digulingkan oleh tentera pada Februari, mencetuskan pemberontakan di seluruh negara yang cuba dikawal junta.

Serangan terhadap anggota tentera telah meningkat sejak anggota parlimen yang diguling menyeru diadakan "perang pertahanan oleh rakyat" awal bulan ini.

Cik Bachelet berkata keadaan hak asasi manusia semakin memburuk sedang kesan rampasan kuasa "menghancurkan kehidupan dan harapan di seluruh negara".

"Konflik, kemiskinan dan kesan pandemik semakin memburuk, dan negara menghadapi lingkaran penindasan, keganasan dan keruntuhan ekonomi," katanya.

Berdepan dengan "penindasan luar biasa terhadap hak yang asas", gerakan penentangan bersenjata terus berkembang.

"Trend ini menunjukkan kemungkinan yang membimbangkan mengenai berlakunya perang saudara yang meningkat," katanya.

GESA ASEAN, MASYARAKAT ANTARABANGSA LAKUKAN SESUATU "SEBELUM TERLAMBAT"

Cik Bachelet menggesa negara-negara di dunia agar menyokong proses politik yang akan melibatkan semua pihak, sambil berkata kumpulan serantau ASEAN dan negara-negara berpengaruh harus menggunakan insentif dan bukan insentif "untuk membalikkan rampasan kuasa tentera dan keganasan".

Cik Bachelet berkata lebih 1,100 orang kini dilaporkan mati dibunuh di tangan pasukan keselamatan sejak rampasan kuasa, sementara lebih 8,000 yang lain, termasuk kanak-kanak ditangkap dan lebih 4,700 masih dalam tahanan.

Bekas presiden Chile itu menggesa semua pihak - terutama tentera - agar membenarkan akses tanpa had kepada bantuan kemanusiaan, dan meminta pembebasan segera semua tahanan politik.

Beliau meminta semua angkatan bersenjata untuk melindungi orang awam dan berkata penggunaan serangan udara dan bedilan meriam di kawasan perumahan mesti dihentikan dengan segera.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita