Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Myanmar, Bangladesh bersetuju mulakan rundingan mengenai pelarian Rohingya

Myanmar bersetuju untuk memulakan rundingan dengan Bangladesh berhubung 65,000 Muslim Rohingya yang melarikan diri dari wilayah Rakhine di Myanmar sejak serangan-serangan dilancarkan ke atas tiga pondok kawalan dekat sempadan yang memisahkan kedua-dua negara itu tiga bulan yang lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Jan 2017 11:21AM Dikemas Kini : 13 Jan 2017 10:38PM

YANGON/DHAKA: Myanmar bersetuju untuk memulakan rundingan dengan Bangladesh berhubung 65,000 Muslim Rohingya yang melarikan diri dari wilayah Rakhine di Myanmar sejak serangan-serangan dilancarkan ke atas tiga pondok kawalan dekat sempadan yang memisahkan kedua-dua negara itu tiga bulan yang lalu.

Demikian menurut seorang pegawai kanan Myanmar pada Khamis (12 Jan).

Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi mengerahkan seorang utusan khas ke Dhaka minggu ini untuk memulihkan hubungan antara kedua-dua negara jiran itu, yang menyifatkan kaum Rohingya sebagai bukan masalah negara masing-masing.

Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina memberitahu Timbalan Menteri Ehwal Luar Kyaw Tin pada Rabu (11 Jan) bahawa Myanmar harus mengambil semula kesemua "warga Myanmar" di Bangladesh, menurut jurucakap Bangladesh.

Aye Aye Soe, ketua pengarah kementerian ehwal luar Myanmar, berkata kedua-dua negara itu akan memulakan rundingan mengenai "proses pengenalan dan pengesahan".

"Jika mereka mendapati bahawa mereka berasal dari Myanmar, mereka akan dihantar balik ke negara asal mereka pada masa yang sesuai," jelasnya, sambil menambah bahawa "tiada garis masa" bagi rundingan tersebut.

Persetujuan itu adalah satu petanda baik yang jarang-jarang berlaku dalam hubungan kedua-dua negara itu, yang sering dirumitkan dengan seramai 500,000 orang Rohingya yang tinggal di Bangladesh selepas melarikan diri dari penindasan selama berpuluh-puluh tahun di Myanmar.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menyatakan bahawa lagi 65,000 orang Rohingya sudah melarikan diri dari Rakhine ke Bangladesh sejak serangan-serangan yang meragut nyawa sembilan pegawai polis di sempadan Myanmar pada 9 Oktober.

Para penduduk dan pelarian berkata bahawa askar dan polis membelasah, menyerang secara seksual dan melakukan pembunuhan secara beramai-ramai, serta sewenang-wenangnya memberkas para penduduk kampung dan membakar rumah mereka.

Myanmar bagaimanapun menolak keras dakwaan tersebut. 

Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan