Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

MYAirline lancar 3 laluan domestik tambang rendah dari KL

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah baru Malaysia, MYAirline Sdn Bhd, bersedia untuk memulakan operasi tiga laluan pertamanya bulan depan. Ia akan bermula dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu pada tambang bermula serendah RM48 (S$14.74). 

Dalam kenyataannya pada Sabtu (26 Nov), syarikat tersebut menyatakan penerbangan terus itu akan bermula pada 1 Disember 2022 dengan penerbangan sekali sehari ke Kuching serta ke Kota Kinabalu dan Langkawi sebanyak dua kali sehari.

“Mulai 2 Disember dan seterusnya, MYAirline akan terbang ke Kuching dua kali sehari manakala penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu akan ditingkatkan kepada tiga kali sehari mulai 23 Disember,” katanya.

Penerbangan itu akan menggunakan pesawat Airbus A320-200 yang dilengkapi 180 tempat duduk dalam kabin kelas tunggal.

“Tambang termasuk semua bermula serendah RM48 (S$14.74) dari Kuala Lumpur ke Langkawi manakala tambang ke Kuching dan Kota Kinabalu masing-masing bermula serendah RM68 (S$20.88) dan RM88 (S$27.02).

Tempahan boleh dibuat melalui laman web MYAirline di www.myairline.my mulai 26 hingga 30 November 2022 untuk tempoh perjalanan bermula 1 Disember 2022 hingga 25 Mac 2023.

Sebagai sebahagian daripada promosi itu, syarikat penerbangan tersebut turut menawarkan baucar eksklusif MYAirline untuk penerbangan mulai 1 hingga 15 Disember 2022.

Pada masa akan datang, MYAirline menyatakan ia bercadang melancarkan penerbangan ke Kota Bharu, Pulau Pinang, Sibu, Tawau, Miri, Alor Setar, Terengganu serta destinasi utama lain di Malaysia selepas menerima kelulusan daripada pengawal selia.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Rayner Teo, berkata kekerapan penerbangan akan ditingkatkan apabila rangkaian domestik syarikat penerbangan tersebut berkembang.

Beliau berkata pihaknya turut bercadang untuk memulakan penerbangan di rantau ASEAN selewat-lewatnya pada suku kedua 2023.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan