Skip to main content

Dunia

Muzium Louvre akan dipasang penghadang jelang hujung tahun 2025

Menteri Kebudayaan Perancis Rachida Dati mengumumkan pada Jumaat (31 Okt) bahawa penghadang anti-rempuhan akan dipasang di sekitar Muzium Louvre sebelum hujung tahun ini, menyusuli rompakan berprofil tinggi di muzium terkenal itu yang mencetuskan semula perbahasan mengenai tahap keselamatannya.
Anggaran Waktu Membaca:
Muzium Louvre akan dipasang penghadang jelang hujung tahun 2025
Anggota tentera berkawal di halaman Muzium Louvre pada Khamis, 30 Oktober 2025, di Paris. (Gambar: AP/Emma Da Silva)
PARIS: Menteri Kebudayaan Perancis Rachida Dati mengumumkan pada Jumaat (31 Okt) bahawa penghadang anti-rempuhan akan dipasang di sekitar Muzium Louvre sebelum hujung tahun ini, menyusuli rompakan berprofil tinggi di muzium terkenal itu yang mencetuskan semula perbahasan mengenai tahap keselamatannya.

Pengumuman itu dibuat selepas empat perompak meletakkan sebuah lori dengan lif bergerak di bawah salah satu tingkap muzium semasa waktu operasinya pada 19 Oktober, sebelum menggunakan alat pemotong untuk memecah masuk ke dalam galeri di tingkat satu dan mencuri barangan kemas bernilai kira-kira AS$102 juta (S$132.76 juta).

Cik Dati yang bercakap selepas membaca laporan awal mengenai sistem keselamatan di muzium itu, berkata langkah segera perlu dilaksanakan untuk menangani keadaan tersebut.

“Selama lebih 20 tahun, risiko pencerobohan dan kecurian di Louvre dipandang remeh secara berterusan,” kata Cik Dati kepada penyiar TF1. “Kita tidak boleh terus begini.”

Beliau menambah bahawa laporan tersebut turut menyebut tentang kekurangan peralatan keselamatan dan protokol tindak balas pencerobohan yang “benar-benar lapuk”.

Pada minggu lalu, Pengarah Louvre Laurence des Cars berkata kamera keselamatan tidak merakam dengan jelas laluan masuk para perompak, kerana satu-satunya kamera yang dipasang tidak dihalakan ke arah balkoni yang digunakan para perompak untuk masuk ke dalam bangunan itu..

Cik Dati berkata sistem keselamatan dalaman muzium berfungsi pada hari kejadian, namun turut memberi amaran tentang “kelemahan keselamatan utama” di luar bangunan.

Bagi menangani kelemahan tersebut, beliau berkata peranti “anti-rempuhan” dan “anti-pencerobohan” akan dipasang “sebelum hujung tahun”, tanpa memperincikannya dengan lanjut.

Terdahulu, Des Cars memaklumkan bahawa penghadang “anti-rempuhan” pertama sedang dipasang di luar muzium.

Setakat ini, polis Perancis sudah menahan tujuh individu berhubung rompakan tersebut, dengan dua daripadanya sudah didakwa atas kesalahan mencuri dan bersubahat untuk melakukan jenayah. Namun, barangan yang dicuri masih belum dijumpai.

Antara barangan yang hilang adalah rantai zamrud dan berlian yang pernah dihadiahkan oleh Napoleon I kepada isterinya, EPermaisuri Marie-Louise, serta mahkota (diadem) milik Maharani Eugenie yang dihiasi hampir 2,000 butir berlian.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita