Skip to main content

Dunia

Muzium Kesenian Islam Malaysia sambut Jubli Perak, anjur pameran seni Islam dari Asia Timur hingga Afrika Barat

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Masyarakat berpeluang meneroka kesenian serta kebudayaan Islam merangkumi sejarah dan budaya sejak lebih 1,000 tahun meliputi kawasan dari Asia Timur sehingga Afrika Barat menerusi dua pameran yang diadakan bersempena dengan sambutan Jubli Perak Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM).

Pameran Menelusuri Seni Islam dan pameran "Alif Lam Ra: Kaligrafi Kotemporari Muslim" yang berlangsung di MKIM selama lebih enam bulan bermula pada Rabu (13 Dis) hingga Jun 2024 menyajikan pelbagai artifak sejarah serta kesenian Islam untuk tatapan pengunjung.

Kurator MKIM Hariz Ahmad Kamal berkata setiap artifak dipamerkan pada Pameran Menelusuri Seni Islam itu merupakan koleksi MKIM yang dikumpul dari tahun ke tahun selain dihasilkan daripada pelbagai material. 

"Pameran ini mempersembahkan kepelbagaian elemen estetika dalam kesenian Islam. Ini kerana setiap artifak mempunyai ceritanya tersendiri," katanya kepada Bernama.

Sebanyak empat bilah pedang maharaja daripada Empayar Mughal, India pada abad ke-15 hingga awal abad ke-18, masing-masing milik Maharaja Akbar yang memerintah dari 1556 hingga 1605, Maharaja Jahangir (1605-1627), Maharaja Shah Jahan (1628-1666) dan Maharaja Aurangzeb (1658-1707) dipaparkan pada pameran itu.

Turut dipamerkan finial emas milik singgahsana Tipu Sultan yang terkenal dengan julukan Harimau dari Mysore daripada Kesultanan Mysore di Seringapatam, Selatan India pada abad ke-18, yang dipercayai dirampas tentera Britain setelah kalah kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris dalam perang Anglo-Mysore.

Koleksi pertama MKIM, 30 jilid al-Quran China Hui dari era pemerintahan Dinasti Qing pada abad ke-17, dihiasi dengan motif China seperti lingkaran awan larat atau kuntuman bunga peoni dan ditulis dengan hanya tiga atau lima baris ayat pada setiap halaman untuk setiap juzuk, turut dipamerkan.

Selain itu, permaidani merah bermotif palma bersulur, dihasilkan menggunakan benang bulu bebiri dan sutera sepanjang 10 meter, antara permaidani terbaik daripada zaman kegemilangan Parsi, pada era Safavid semasa pertengahan abad ke-17, dijangka turut menarik perhatian pengunjung.

Bagi pameran "Alif Lam Ra: Kaligrafi Kotemporari Muslim" pula, ia mengetengahkan seni khat dengan memperlihatkan evolusi kaligrafi sebagai medium ekspresi tertinggi dalam Islam dengan membabitkan 42 artis kaligrafi kontemporari Islam dari pelbagai negara yang mempamerkan seni tulisan khat mereka.

Antara penulis kaligrafi yang terlibat ialah Fuad Kouichi Honda dari Jepun, Azra Aghighi (Iran), Charles Hossein Zenderoudi (Iran), Ahmad Moustafa (Mesir), Nasser Al-Aswadi (Yaman), Nja Mahdoui (Tunisia) dan Khaled Al Saai (Syria).

Encik Hariz berkata kedua-dua pameran itu menonjolkan peranan MKIM sebagai pemelihara, pemulihara serta pendidik dalam memacu hala tuju cabang kesenian dan kebudayaan Islam di Malaysia, sejak ia dibuka pada 12 Dis 1998 dan secara keseluruhan, MKIM mempunyai lebih 13,000 koleksi artifak kesenian Islam, namun hanya 2,500 dipamerkan di 12 galeri tetap dalam tempoh 25 tahun penubuhannya.

Sementara itu, penuntut di sebuah kolej tempatan, Gan Joe Ren, 18, berkata pameran itu membolehkannya melihat kegemilangan Islam di serata dunia.

"Saya suka dengan kesenian Islam, ia tak berselerak, sebaliknya sangat tersusun seperti geometri. Daripada kesenian ini juga, saya dapat lihat sejarah dan budaya kehidupan masyarakat itu sendiri," katanya.

Bagi Ong Wei En, 18, dia mengagumi kesenian Islam dan berhasrat untuk mengenalinya pada masa akan datang.

"Saya mendapati budaya ini amat menarik dan saya suka betapa simetrik dan sempurna semuanya, menarik apabila melihat penggunaan perkataan Arab dan ayat al-Quran yang berseni … saya ingin menerokanya dengan lebih banyak lagi," katanya.

Kedua-dua pameran itu yang menampilkan hampir 150 artifak bersejarah seawal abad kelapan sehingga lukisan kaligrafi moden telah dirasmikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Selasa (12 Dis).

Pengunjung boleh melayari laman sosial Instagram menerusi Islamicartsmuseummalaysia dan Islamicartsmuseumeevents untuk maklumat lanjut dan menyemak setiap aktiviti bagi kedua-dua pameran yang diadakan bersempena dengan sambutan Jubli Perak MKIM.
Sumber : Bernama/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita