Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muzium Hang Tuah di Melaka guna AI papar kisah sejarah

Anggaran Waktu Membaca:
MELAKA: Muzium Hang Tuah yang terletak di Hang Tuah Centre, Duyong, Melaka, mencipta sejarah sebagai muzium pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memaparkan kisah Laksamana Hang Tuah.

Kurator Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Norzaifirah Zaini berkata, penggunaan AI dalam gambar peragaan interaktif itu dibangunkan oleh konsultan tempatan, dan bertujuan menarik pengunjung selepas Muzium Hang Tuah dibuka semula pada 1 Oktober lalu.

Cik Norzaifirah berkata, pendekatan baharu itu dilakukan sebagai satu daripada usaha menambah nilai produk pelancongan negeri berkenaan, sekali gus menarik taraf muzium berkenaan yang sebelum ini ditutup selama setahun bagi kerja-kerja berkenaan.

"Menerusi penambahbaikan yang dilakukan ini, lebih banyak penggunaan AI dalam gambar peragaan interaktif dipaparkan kepada pengunjung untuk menceritakan kisah atau sejarah berkaitan Hang Tuah.

"Pendekatan ini memberi pengalaman lebih menarik kepada pengunjung untuk mengetahui lebih mendalam mengenai Hang Tuah sekali gus mengelak pengunjung berasa bosan dengan hanya membaca maklumat yang dipaparkan secara bertulis," katanya kepada Bernama di Melaka pada Rabu (9 Okt).

Mengulas lanjut, Cik Norzaifirah berkata penggunaan teknologi hologram yang memaparkan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat juga terdapat di muzium berkenaan, manakala kaedah lawatan virtual digunakan bagi menceritakan aktiviti perdagangan Hang Tuah di merata dunia.

Lebih menarik katanya, pengunjung turut berpeluang menyaksikan teater berkaitan pelayaran Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka di teater mini yang dipaparkan pada slaid video selama kira-kira tiga minit.

Cik Norzaifirah berkata, selain kerja-kerja naik taraf muzium berkenaan yang juga dikenali sebagai Rumah Hang Tuah, ia turut melibatkan empat lagi rumah sahabat pahlawan berkenaan iaitu Rumah Hang Jebat, Rumah Hang Kasturi, Rumah Hang Lekir dan Rumah Hang Lekiu.

Menurutnya, kawasan sekitar Hang Tuah Centre, turut dinaik taraf khususnya melibatkan aspek landskap termasuk membangunkan beberapa monumen gergasi berkaitan Melaka seperti tangga rumah Melaka, keris dan buaian.

Muzium Hang Tuah dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang, dan tiket masuk adalah sebanyak RM10 (S$3.00) bagi dewasa dan RM5 (S$1.50) bagi kanak-kanak lima hingga 12 tahun. 

Sebelum ini, media melaporkan Hang Tuah Centre termasuk Muzium Hang Tuah ditutup selama setahun bagi kerja-kerja menaik taraf melibatkan peruntukan lebih RM3.81 juta (S$1.1 juta) yang disalurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Selain itu, Cik Norzaifirah berkata persatuan silat yang berminat untuk mengadakan latihan pada waktu malam di gelanggang yang terdapat di Hang Tuah Centre juga dialu-alukan.

"Di Hang Tuah Centre, kami juga menyediakan auditorium untuk aktiviti seminar, bengkel, atau taklimat, selain menawarkan sewaan tapak bagi penganjuran majlis perkahwinan," tambahnya.


 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan