Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muzium di Indonesia guna 10,000 sampah plastik tingkat kesedaran krisis pencemaran

Terdapat begitu banyak plastik mencemari sungai dan pantai sekitar Gresik, hingga aktivis boleh membina muzium menggunakan hanya bahan sampah yang dikutip itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Muzium di Indonesia guna 10,000 sampah plastik tingkat kesedaran krisis pencemaran

(Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 10 Oct 2021 10:52PM Dikemas Kini : 10 Oct 2021 10:54PM

GRESIK: Aktivis alam sekitar di Indonesia yang ingin menyampaikan mesej tentang krisis pencemaran bahan buangan plastik di laut dan sungai yang semakin buruk di dunia, membina muzium yang diperbuat sepenuhnya daripada bahan plastik.

Ia sebahagian usaha untuk meyakinkan orang ramai memikirkan semula tabiat mereka dan mengatakan 'tidak' kepada penggunaan beg serta botol plastik.

Pameran terbuka muzium plastik di kota Gresik, Jawa Timur itu mengambil masa tiga bulan untuk dipasang dan dibuat daripada lebih 10,000 sampah plastik, termasuk botol dan beg hingga jerami, semuanya dikutip dari sungai dan pantai yang tercemar.

"Kami mahu menekankan kepada orang ramai supaya berhenti gunakan plastik pakai buang," kata pengasas muzium itu, Prigi Arisandi.

"Plastik-plastik ini sangat sukar untuk dikitar semula... Bermula hari ini, kita harus berhenti gunakan plastik pakai buang kerana ia akan mencemarkan lautan kita, yang juga sumber makanan kita."

Masalah plastik lebih genting lagi di Indonesia, negara yang berada di tempat kedua di belakang China berdasarkan jumlah sampah plastik yang ditemukan di laut.

Bersama Filipina dan Vietnam, empat negara itu bertanggungjawab ke atas lebih separuh daripada plastik yang ditemui di lautan. Usaha Indonesia untuk mengawal penggunaan bungkusan plastik setakat ini belum benar-benar berkesan.

Pameran di Gresik itu sudah menerima lebih 400 pengunjung sejak dibuka awal bulan lalu.

Seorang pelajar,Ahmad Zainuri berkata pameran itu membuka matanya terhadap betapa besarnya masalah pencemaran itu.

"Saya akan beralih ke beg tote dan ketika membeli minuman, saya akan menggunakan bekas air sendiri," katanya.

Muzium itu turut menjadi lokasi popular untuk swafoto yang banyak dikongsi di media sosial, di mana pengunjung mengambil gambar dengan latar belakang ribuan botol air yang digantung.

"Saya akan beli barang yang boleh diguna semula seperti botol minuman dan bukan botol plastik pakai buang," kata pelajar, Ayu Chandra Wulan. "Dengan melihat begitu banyaknya sampah yang ada di sini, buat saya rasa sangat sedih."

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan