Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mutu udara di ibu kota India pada paras 'bahaya', sekolah ditutup

Anggaran Waktu Membaca:
NEW DELHI: Semua sekolah rendah di New Delhi telah diarah ditutup kerana pencemaran jerebu asap yang semakin buruk di ibu kota India itu.

Arahan tersebut dikeluarkan pada Khamis malam (14 Nov).

Dalam catatannya di platform media sosial X, Ketua Menteri Delhi, Atishi Marlena Singh berkata pembelajaran murid-murid sekolah rendah di New Delhi akan dilakukan secara online, sehingga diberitahu kelak.

Masalah jerebu asap yang buruk memang dialami New Delhi setiap tahun antara pertengahan bulan Oktober hingga Januari.

Pihak berkuasa juga kerap mengenakan larangan ke atas kerja-kerja pembinaan dan menyekat trak barangan yang menggunakan diesel dari bahagian lain di negara itu dalam usaha untuk mengurangkan awan toksik yang menyelubungi bandar.

Menurut Sistem Amaran Awal Mutu Udara yang dikendalikan pemerintah untuk Delhi, Indeks Mutu Udara (AQI) Delhi pada pagi Khamis mencatatkan bacaan 424.

Bacaan AQI antara 201 hingga 300 adalah "tidak sihat", 301 hingga 400 "sangat tidak sihat" dan "berbahaya" antara 401 hingga 500.

Menurut ramalan cuaca, mutu udara dijangka berada dalam kategori "sangat tidak sihat" dari Jumaat hingga Ahad.

Antara punca jerebu asap tahunan itu adalah perbuatan para petani membakar semak-samun di tanah pertanian mereka untuk memulakan kegiatan bercucuk tanam yang baharu.
Sumber : AFP/MU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan