Mutu udara bertambah baik buat sementara pada 2020 sewaktu sekatan pergerakan COVID-19
Bahan-bahan utama pencemar udara merosot buat sementara ke paras yang tidak pernah dicatat sebelum ini di tengah-tengah sekatan pergerakan COVID-19 tahun lalu.
Kawasan pergunungan di Kathmandu, Nepal pada 2020. (Gambar fail: REUTERS)
GENEVA: Bahan-bahan utama pencemar udara merosot buat sementara ke paras yang tidak pernah dicatat sebelum ini di tengah-tengah sekatan pergerakan COVID-19 tahun lalu, dengan pencemaran zarah halus jatuh lebih sepertiga di beberapa kawasan di Asia, menurut sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (3 Sep).
Jirim bahan zarah (PM 2.5) merosot sehingga 40 peratus di Afrika, Amerika Selatan dan bahagian selatan Asia serta mencatat penurunan lebih kecil di beberapa kawasan di Eropah dan Amerika Utara, menurut Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia (WMO) dalam
Buletin Mutu Udara dan Iklim yang buat julung-julung kalinya dikeluarkan.
Menurut WMO, sekatan pergerakan COVID-19 dan sekatan perjalanan menyebabkan pengeluaran bahan-bahan utama pencemar udara "menjunam buat sementara waktu", terutama sekali di kawasan-kawasan bandar.
"Sewaktu langkah-langkah sekatan pergerakan dilaksanakan, mutu udara di kebanyakan kawasan di dunia bertambah baik dan sebahagian besarnya dari segi zarah-zarah," kata Cik Oksana Tarasova, ketua divisyen penyelidikan sekitaran atmosfera bagi pertubuhan itu.
Buletin WMO itu, yang membandingkan mutu udara pada 2020 dengan bacaan pada 2015 hingga 2019, menunjukkan bahawa paras nitrogen dioksida berbahaya yang dikeluarkan oleh pembakaran minyak jatuh di hampir semua negara dan sebanyak 70 peratus.
Pencemaran udara adalah satu-satunya faktor risiko tertinggi alam sekitar ke atas kematian pramatang di seluruh dunia. Ia mungkin mengurangkan lebih sembilan tahun daripada jangka hayat sekitar 40 peratus warga India, menurut satu laporan minggu ini.
Namun, penurunan yang dicatat tahun lalu terlalu singkat untuk membawa sebarang kesan ke atas kesihatan," kata Cik Tarasova.
Beliau merujuk kepada kebakaran hutan di Australia, asap disebabkan pembakaran biojisim di Siberia dan Amerika Syarikat serta "kesan Godzilla" tiupan pasir dan debu dari Gurun Sahara melalui lautan Atlantik ke Amerika Utara sebagai membawa kesan buruk kepada mutu udara.
Buletin WMO juga menunjukkan bahawa jumlah molekul ozon, yang boleh merosakkan laluan udara, sebenarnya meningkat di beberapa kawasan pada tahun lalu. Cik Tarasova berkata ia dikaitkan dengan paras nitrogen oksida lebih rendah yang biasanya menghapuskan gas-gas berbahaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.