Mutasi virus korona 'mudah berjangkit tapi lebih ringan jangkitannya' dikesan di Indonesia; sedang jumlah kes melonjak
Mutasi virus korona yang lebih mudah berjangkit dikesan di Indonesia, dedah Institut Biologi Molekular Eijkman yang berpangkalan di Jakarta pada Ahad (30 Ogos), sedang jumlah kes di negara itu terus melonjak.
(Gambar: Kiki Siregar)
JAKARTA: Mutasi virus korona yang lebih mudah berjangkit dikesan di Indonesia, dedah Institut Biologi Molekular Eijkman yang berpangkalan di Jakarta pada Ahad (30 Ogos), sedang jumlah kes di negara itu terus melonjak.
Indonesia melaporkan 2,858 jangkitan baru pada Ahad, menurut data yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan negara itu berbanding 3,308 kes pada hari sebelumnya, namun tetapi menjangkaui purata harian pada bulan lalu. Jumlah terkumpul kes COVID-19 di Indonesia adalah sebanyak 172,053, dengan 7,343 kematian dilaporkan sejauh ini.
Mutasi virus D614G yang "lebih mudah berjangkit tetapi lebih ringan" dikesan pada data penjujukan genom dari sampel yang dikumpul oleh institut itu, kata timbalan pengarahnya Herawati Sudoyo kepada Reuters, sambil menambah bahawa lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sama ada ia menjadi punca yang menyebabkan peningkatan kes baru-baru ini.
Jenis tersebut, yang menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dikenal pasti pada Februari dan menular di Eropah dan Amerika Syarikat, juga ditemui di Singapura dan Malaysia.
Syahrizal Syarif, seorang pakar epidemiologi di Universiti Indonesia, memberi amaran bahawa penduduk Indonesia perlu terus berwaspada kerana modelnya menunjukkan bahawa negara itu mungkin akan menyaksikan lonjakan pada jumlah jangkitan kepada 500,000 menjelang hujung tahun ini.
"Keadaannya serius .... Penyebaran tempatan ketika ini tidak terkawal," kata Encik Syarif, sambil menambah bahawa jumlah jangkitan yang dilaporkan setiap hari mungkin jauh lebih tinggi jika makmal dapat memproses lebih banyak spesimen dalam sehari.
"Perlu ada kesedaran dan usaha kolektif, baik dari pemerintah mahupun rakyat, dalam menangani peningkatan jumlah kes," kata Dwi Oktavia, seorang pegawai di agensi kesihatan Jakarta, dalam satu kenyataan, sambil menggesa orang ramai supaya terus duduk di rumah dan memakai pelitup muka jika mereka perlu keluar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.