Skip to main content

Dunia

Mutasi baru COVID-19 tersebar ke kebanyakan kelompok gelombang ke-3 di M'sia

A701V, virus mutasi COVID-19 yang dikesan dalam sampel Kluster Benteng LD di Sabah, sudah tersebar ke sebahagian besar kluster dalam gelombang ketiga di Semenanjung Malaysia dan Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Anggaran Waktu Membaca:
Mutasi baru COVID-19 tersebar ke kebanyakan kelompok gelombang ke-3 di M'sia

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Dec 2020 06:15PM Dikemas Kini : 25 Dec 2020 06:18PM

KUALA LUMPUR: A701V, virus mutasi COVID-19 yang dikesan dalam sampel Kluster Benteng LD di Sabah, sudah tersebar ke sebahagian besar kluster dalam gelombang ketiga di Semenanjung Malaysia dan Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata mutasi itu pertama kali dikesan dalam kalangan 22 jujukan SARS-CoV-2 dan antara kluster gelombang ketiga yang telah dijujukkan ialah Teratai, generasi ketiga Benteng LD, Tapak Bina Damanlela, Perigi, Selasih, Saguking, Tenaga, Kasih, Bah Ketil, Bukit dan Kaya.

“A701V itu kini menular bersama-sama jenis perebak utama D614G berikutan peningkatan luar biasa kes semasa gelombang ketiga.

“Memandangkan kebanyakan kluster mempunyai jenis ini, kehadiran A701V mungkin memberikan kelebihan tambahan kepada virus itu dalam menjadi strain dominan, mungkin menjadikannya lebih mudah menjangkiti,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook pada Jumaat (25 Dis).

Dr Noor Hisham berkata prevalens A701V dalam kalangan kes gelombang ketiga ialah 86 peratus manakala D614G ialah 100 peratus.

Beliau berkata di peringkat global, Afrika Selatan, Australia, Belanda dan England juga melaporkan kehadiran jenis A701V pada waktu hampir sama dengan Malaysia.

“Dalam GISAID (satu inisiatif sains global dan sumber utama untuk data genom virus influenza), prevalens strain ini didapati sekitar 0.18 peratus dan peranan strain ini masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan analisis terhadap lebih 120 jujukan genom penuh SARS-CoV-2 daripada sampel klinikal yang merangkumi gelombang pertama hingga ketiga kes COVID-19 di Malaysia.

Mengenai jenis COVID-19 baru dari United Kingdom dengan nama saintifiknya VUI 202012/01, Dr Noor Hisham berkata buat masa ini virus itu tidak dijumpai di Malaysia.

Bagaimanapun katanya IMR akan terus menjalankan penjujukan genom untuk memantau kehadiran varian itu serta varian lain dan KKM akan terus berwaspada dengan mengambil pelbagai langkah untuk mencegah penularan varian baru ke Malaysia.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita