Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mustahil untuk jadi PM Malaysia, jika tiada sokongan sejumlah besar kaum terutama orang Melayu: Lim Kit Siang

Anggaran Waktu Membaca:
Mustahil untuk jadi PM Malaysia, jika tiada sokongan sejumlah besar kaum terutama  orang Melayu: Lim Kit Siang

Pemimpin DAP Lim Kit Siang. (Gambar: Facebook / Lim Kit Siang)

Diterbitkan : 16 Dec 2023 05:52PM Dikemas Kini : 16 Dec 2023 06:19PM

KUALA LUMPUR: Adalah mustahil untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, jika tidak mempunyai sokongan sejumlah besar kaum dalam negara, terutama sekali dari orang Melayu, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

Dalam catatan terbaharu di blognya, mantan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, perkara tersebut tidakmungkin terjadi biarpun tiada larangan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bukan Melayu memegang jawatan tersebut.

Encik Lim Kit Siang berkata, beliau berbeza pandangan dengan Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin, yang melihat perkara itu mungkin terjadi tidak lama lagi, lapor Astro Awani.

“Muhyiddin bersetuju dengan kenyataan saya yang mengatakan Perlembagaan Malaysia membolehkan seorang bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi dia fikir yang perkara ini akan terjadi tidak lama lagi.


“Berbeza dengan pendapat saya yang seorang bukan Melayu tidak akan menjadi seorang Perdana Menteri dalam 100 tahun akan datang dan yang perkara ini mungkin tidak akan terjadi sama sekali.

“Tidak ada sesiapa pun yang akan dapat menjadi Perdana Menteri Malaysia tanpa sokongan sejumlah besar semua kaum di dalam negara, terutamanya dari orang Melayu,” tegasnya lagi.

Pada Jumaat (15 Dis), Encik Muhyiddin, yang juga Perdana Menteri Malaysia ke-8 berkata, keputusan untuk memilih seseorang untuk dilantik sebagai perdana menteri ditentukan oleh 222 ahli Dewan Rakyat, bukannya rakyat.

Menurut laporan Astro Awani, Encik Muhyiddin berkata, mana-mana ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat akan terpilih menjadi perdana menteri, tidak kira sama ada individu terbabit Melayu ataupun sebaliknya.

Namun, Anggota Parlimen Pagoh itu berkata, sejak merdeka, Malaysia sudah mempunyai 10 perdana menteri yang dilantik mengikut peruntukan perlembagaan berkenaan, dan kesemua mereka adalah dalam kalangan orang Melayu.

Dalam pada itu Encik Lim melontarkan persoalan, sekiranya Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu bersedia untuk menyokong pindaan terhadap Perlembagaan Malaysia.


“… mengambil kira pandangan Muhyiddin, adakah PN dan Bersatu bersedia untuk menyokong pindaan terhadap Perlembagaan Malaysia untuk memperuntukkan yang seorang Cina atau India tidak boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam 100 tahun yang akan datang, tetapi akan ada seorang Perdana Menteri Kadazan atau Dayak dalam 100 tahun yang akan datang?” soalnya lagi.

Sumber : Agensi berita/AA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan