Mustahil Najib tidak tahu baki akaun banknya, sindir timbalan pendakwa raya
Mustahil Najib tidak tahu baki akaun banknya, sindir timbalan pendakwa raya.
(Gambar: Bernama)
PUTRAJAYA: Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram berkata adalah mustahil mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak secara peribadi tidak mengetahui baki dalam akaun banknya selama lima tahun kerana Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil ditugaskan untuk menguruskan akaun beliau.
Beliau berkata dengan aliran wang masuk dalam jumlah yang begitu besar ke dalam akaun bank terbabit, bekas perdana menteri Malaysia itu sekurang-kurangnya harus menyoal sumber dan kesahihan dana itu.
"Adalah mustahil beliau boleh buat-buat tak nampak apabila berjuta-juta ringgit dimasukkan ke dalam akaun banknya hanya kerana pengurusan akaun bank beliau telah diserahkan kepada Nik Faisal dan bahawa selama lima tahun beliau tidak tahu secara peribadi mengenai baki dalam akaun banknya," katanya lagi.
Encik Sithambaram berkata demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil semasa pendengaran rayuan Encik Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta (S$14 juta) dana milik SRC International Sdn Bhd.
Turut bersidang Cik Has Zanah Mehat dan Encik Vazeer Alam Mydin Meera.
Encik Sithambaram berkata Encik Najib juga kononnya terpaksa bergantung kepada Allahyarham Encik Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit beliau) untuk mengetahui sama ada beliau boleh mengeluarkan cek.
"Perayu secara jelas enggan mengakui bahawa beliau mengetahui baki dalam akaun banknya kerana perkara itu akan mengaitkan pengetahuan beliau mengenai deposit RM42 juta ke dalam akaun bank peribadinya.
"Perayu tidak pernah memberi keterangan sama ada beliau ada bertanya kepada Datuk Azlin, Nik Faisal atau Jho Low mengenai sumber dana di dalam akaun terbabit yang telah dibelanjakannya dengan senang hati tanpa sebarang persoalan," katanya.
Beliau berkata Encik Najib sudah mengeluarkan 15 cek peribadi berjumlah RM10.7 juta (S$3.6 juta) dan turut berbelanja sebanyak RM466,330 (S$150,350) di Honolulu, Hawaii melalui kad kreditnya untuk membeli seutas jam tangan jenama Chanel sebagai hadiah hari jadi isterinya, Rosmah Mansor.
Katanya lagi, perlakuan ini jelas menunjukkan bahawa Najib sudah menggunakan dana yang diterima daripada SRC secara penuh berdasarkan bukti yang terdapat dalam jejak wang itu dan dijelaskan dalam pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT).
"Cara perayu berbelanja membuktikan bahawa beliau mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta daripada SRC yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya," katanya.
Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$68 juta) selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International.
Pendengaran rayuan kes itu bersambung hari ini (22 Apr).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.