'Muslim Day Parade' di New York suarakan sokongan penuh bagi kaum Rohingya
Seramai 5,000 orang muslim dan bukan muslim, beramai-ramai menyertai acara Perarakan Hari Muslim (Muslim Day Parade) di New York, Amerika Syarikat, demi menolak idea-idea Presiden Donald Trump yang dianggap memecahbelahkan masyarakat dan bersifat perkauman.
5,000 orang muslim dan bukan muslim, menyertai acara Perarakan Hari Muslim (Muslim Day Parade) di New York, Amerika Syarikat. (Gambar: Imam Shamsi Ali)
NEW YORK: Seramai 5,000 orang muslim dan bukan muslim, beramai-ramai menyertai acara Perarakan Hari Muslim (Muslim Day Parade) di New York, Amerika Syarikat, demi menolak idea-idea Presiden Donald Trump yang dianggap memecahbelahkan masyarakat dan bersifat perkauman.
Perarakan tersebut yang diadakan pada hari Ahad (24 Sep), yang disertai para penganut Kristian, Yahudi dan Hindu, juga menyuarakan sokongan penuh mereka kepada kaum Rohingya di Myanmar yang kini dibelenggu keganasan dan 'pembersihan kaum'.
Demikian menurut ketua penganjur perarakan tersebut, Imam Shamsi Ali, seorang tokoh antara agama di New York. Beliau berasal dari Indonesia dan kini bermastautin di New York.
"ROHINGYA ADALAH ISU KEMANUSIAAN"
"Alhamdulillah sambutan tahun ini sangat besar. Ada sekitar 5,000 orang hadir mengikuti perarakan Islam ini.
"Saya kira tahun ini lebih besar lagi dibanding tahun sebelumnya. Salah satunya kerana perarakan tahun ini dikaitkan dengan isu Rohingya," kata Imam Shamsi kepada BERITAMediacorp.
Beliau yang kini sudah hampir 20 tahun mengetuai acara tersebut menekankan bahawa mesej utama yang mahu diketengahkan ialah "isu Rohingya adalah isu kemanusiaan".
Namun demikian Imam Shamsi juga menegaskan bahawa isu tersebut tidak harus dilihat atau dijadikan sebagai isu "Islam lawan Buddhisme".
Yang pasti, perarakan tahunan kali ke-32 itu, yang dalam bahasa Inggeris dipanggil 'Muslim Day Parade', mahu mengingatkan masyarakat dunia bahawa krisis Rohingya perlu segera diselesaikan.
PIHAK-PIHAK EKSTRIM BOLEH BANGKIT JIKA...
Imam Shamsi menyatakan kepada BERITAMediacorp: "Jika tidak, maka khuatir akan menimbulkan kemarahan umat di kawasan (berkenaan). Khuatir pihak-pihak yang keras atau ekstrim boleh bangkit dan melakukan perjuangan. Ini berbahaya bagi negara-negara kawasan Asia Tenggara."
Lantaran itu juga, seorang aktivis dari kaum Rohingya, Encik Mouhiddin Yousof, dilantik menjadi 'Grand Marshal' atau Pemimpin Perarakan.
Seorang pemimpin berpengaruh agama Yahudi di kota New York, Rabbi Mark Schneier pula dilantik sebagai 'Honorary Grand Marshal' atau Pemimpin Perarakan Kehormat. Ini kali pertama seorang pemimpin Yahudi turut dilantik memimpin perarakan Muslim ini.
Hakikatnya, acara itu yang turut disertai ratusan anggota masyarakat bukan Islam, menjadi "bukti bahwa umat Islam tidak sendirian" dalam menghadapi pelbagai cabaran-cabarannya, kata Imam Shamsi.
'BUILDING BRIDGES' SEBAGAI TOLAK 'BUILDING WALLS'
Tema Perarakan Hari Muslim kali ini ialah "Building Bridges" atau Membangun Jembatan. Menurut Imam tersebut yang juga merupakan Presiden Yayasan Muslim Amerika, tema itu merupakan 'antitesis' kepada dasar Presiden Donald Trump yang diajukan menerusi slogannya iaitu "Building Walls" atau Membangun Dinding.
Kehadiran Rabbi Schneier juga membawa mesej kuat bahawa para pemimpin Muslim dan Yahudi boleh berganding bahu dan bekerjasama untuk menghasilkan mesej perdamaian demi kemanusiaan.
(Gambar-gambar: Ihsan Imam Shamsi Ali)
Pemimpin Yahudi itu pada Februari tahun ini pernah memimpin satu rapat umum di Times Square bagi membela masyarakat Islam dengan slogan 'Today I am a Muslim too' (Hari ini saya juga seorang Muslim).
Rapat itu diadakan setelah Presiden Trump mengharamkan para penduduk dari beberapa negara majoriti Islam daripada boleh memasuki Amerika Syarikat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.