Skip to main content

Dunia

Musk dedah Jabatan Kecekapan Pemerintah Amerika secara 'tidak sengaja' potong dana cegah Ebola

Hartawan teknologi Elon Musk mendedahkan bahawa pemerintah Amerika Syarikat secara tidak sengaja menghentikan dana pencegahan virus Ebola, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Anggaran Waktu Membaca:
Musk dedah Jabatan Kecekapan Pemerintah Amerika secara 'tidak sengaja' potong dana cegah Ebola

Encik Musk menghadiri mesyuarat Kabinet Amerika yang pertama di Rumah Putih, Washington, pada 26 Februari 2025. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 27 Feb 2025 02:08PM Dikemas Kini : 27 Feb 2025 02:10PM
WASHINGTON: Hartawan teknologi Elon Musk mendedahkan bahawa pemerintah Amerika Syarikat secara tidak sengaja menghentikan dana pencegahan virus Ebola, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Encik Musk mendedahkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet Amerika bahawa Jabatan Kecekapan Pemerintah melakukan kesilapan semasa memotong kakitangan dan program dalam masa beberapa minggu kebelakangan ini.

"Kami tidak sempurna, tetapi apabila kami melakukan kesilapan, kami akan memperbaikinya dengan pantas," kata Encik Musk.

Antara kesilapan termasuk pembatalan pencegahan Ebola semasa pemotongan dana Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).

"Saya rasa kita semua mahukan pencegahan Ebola. Jadi, kami memulihkan pencegahan Ebola dengan segera, dan tiada gangguan berlaku," kata Encik Musk.

Namun, beliau menekankan bahawa tindakan segera diperlukan untuk mencapai pengurangan defisit belanjawan sebanyak AS$1 trilion bagi Tahun Kewangan 2026.

"Ia memerlukan penjimatan AS$4 bilion sehari, setiap hari dari sekarang hingga akhir September. "Tetapi kami boleh melakukannya dan kami akan melakukannya," katanya lagi.

Ebola ialah penyakit berjangkit yang mengancam nyawa dan boleh merebak melalui sentuhan fizikal serta cecair badan.

USAID merupakan antara agensi bantuan terbesar di dunia, menggajikan kira-kira 10,000 orang, dengan dua pertiga daripadanya berkhidmat di luar negara.

Ia bertanggungjawab mengagihkan sebahagian besar bantuan kemanusiaan pemerintah Amerika kepada negara-negara membangun dan negara-negara yang mengalami krisis.

Pentadbiran Presiden Donald Trump telah membubarkan agensi itu dengan hampir kesemua kakitangannya diarahkan untuk mengambil cuti.

Encik Trump membekukan dana USAID pada Januari sementara menunggu semakan dalaman, yang memberi kesan kepada pelbagai inisiatif di seluruh dunia.
Sumber : Bernama/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita