Skip to main content

Dunia

Musk akan dikekalkan hingga tugas DOGE selesai, kata Rumah Putih

Anggaran Waktu Membaca:
Musk akan dikekalkan hingga tugas DOGE selesai, kata Rumah Putih

Elon Musk di Green Bay, Wisconsin pada 30 Mac, 2025. (Gambar: AP/Jeffrey Phelps)

Diterbitkan : 03 Apr 2025 12:37PM Dikemas Kini : 03 Apr 2025 01:47PM
  • Rumah Putih menafikan laporan bahawa hartawan teknologi dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk, akan meninggalkan peranannya sebagai kakitangan khas pemerintah sebelum tempoh mandatnya tamat pada akhir Mei.
  • Encik Trump sebelum ini menugaskan Encik Musk untuk menerajui usaha Jabatan Kecekapan Pemerintah mengurangkan perbelanjaan pemerintah dan merombak birokrasi persekutuan.
  • Encik Musk dilaporkan yakin beliau akan dapat mencapai sasaran untuk memotong perbelanjaan pemerintah sebanyak AS$1 trilion dalam tempoh 130 hari mandatnya.
  • Kontroversi turut timbul apabila hampir 200,000 pekerja pemerintah telah dipecat, diberhentikan atau menerima skim pemberhentian sukarela.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Rumah Putih menafikan laporan bahawa hartawan teknologi dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk, akan meninggalkan peranannya sebagai kakitangan khas pemerintah sebelum tempoh mandatnya tamat pada akhir Mei.

Menurut jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, Presiden Donald Trump telah menyatakan bahawa Encik Musk akan meninggalkan perkhidmatan awam sebagai kakitangan khas pemerintah apabila tugasnya di Jabatan Kecekapan Pemerintah (DOGE) selesai.

Cik Leavitt berkata demikian sebagai respons kepada laporan media seperti Politico dan ABC yang mendakwa Encik Trump telah memaklumkan kepada para anggota kabinet mengenai kemungkinan Encik Musk akan kembali ke sektor swasta.

Encik Trump sebelum ini menugaskan Encik Musk untuk menerajui usaha Jabatan Kecekapan Pemerintah mengurangkan perbelanjaan pemerintah dan merombak birokrasi persekutuan.

Encik Musk dilaporkan yakin beliau akan dapat mencapai sasaran untuk memotong perbelanjaan pemerintah sebanyak AS$1 trilion dalam tempoh 130 hari mandatnya.

Namun, DOGE dilaporkan hanya berjaya menjimatkan perbelanjaan pemerintah sebanyak AS$140 bilion setakat 2 April.

Ini menerusi pemberhentian pekerja, penjualan aset dan pembatalan kontrak dan ia jauh daripada sasaran asal.

Tambahan pula, laman web rasmi DOGE sering menghadapi kesilapan dalam pengiraan dan pembetulan data.

Kontroversi turut timbul apabila hampir 200,000 pekerja pemerintah telah dipecat, diberhentikan atau menerima skim pemberhentian sukarela.

Tindakan itu mencetuskan bantahan rakyat di seluruh Amerika Syarikat, dengan beberapa cawangan Tesla turut menjadi sasaran vandalisme.

Bantahan besar-besaran terhadap dasar DOGE dan agenda Encik Trump dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Mandat DOGE secara keseluruhannya akan berakhir pada 4 Julai 2026.
Sumber : Agensi berita/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita